Sumber Gambar: FA Selangor

Ubi PKNP FC mudah menjinakkan ubi pasukan Selangor dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan D saingan Piala Malaysia edisi 2018. Barisan muda Selangor bagaikam tiada jawapan kepada keampuhan anak-anak Abu Bakar Fadzim.

PKNP nyata pasukan yang lebih dominan pada perlawanan semalam kerana mereka dilihat lebih berbahaya ketika melancarkan serangan dan juga kukuh ketika dalam mod bertahan. Pemain terbaik mereka sudah pasti ketua pasukan, Hafizh Ramdan yang membuka tirai jaringan pada minit ke-23.

Hafizh berjaya memanfaatkan kealpaan benteng pertahanan Selangor yang membiarkan beliau menggelecek melepasi tiga pemain sekaligus membuat rembatan melepasi Haziq Ridwan. Kealpaan benteng pasukan Selangor sekali lagi dihukum apabila Fandi Ahmad memanfaatkan kesilapan Ashmawi Yakin yang kehilangan bola sekaligus menjaringkan gol kedua PKNP. Separuh masa pertama tamat dengan kedudukan 2-0.

Memasuki separuh masa kedua, Selangor cuba memperkemaskan permainan dan mereka melancarkan serangan ke kubu pertahanan PKNP. Namun, benteng pertahanan PKNP tenang dalam menyerap segala asakan pemain Selangor dan memastikan pintu gol mereka tidak dibolosi.

Pemain import, Ritus Krjauklis kemudiannya menjaringkan gol ketiga sekaligus menutup sebarang peluang pasukan Selangor untuk bangkit.

Kemenangan yang sangat berharga buat PKNP dan mereka kini memimpin carta kumpulan D setelah Pahang hanya mampu seri ketika menentang pasukan Sabah. Manakala kekalahan yang cukup pahit buat Selangor dimana mereka memulakan saingan Piala Malaysia kali ini dengan langkah kiri.

Kami berpendapat bahagian tengah pasukan Selangor tidak beraksi dengan baik pada perlawanan semalam. Ketiadaan Evan Dimas dan Syahmi Safari nyata memberi kesan kepada Selangor. Pengganti yang diturunkan, Saiful Ridzuwan dan Badrul Amin nyata tidak mampu untuk beraksi dengan baik.

Kelemahan di bahagian tengah pasukan Selangor bijak dimanfaatkan oleh ubi PKNP FC sekaligus memberikan mereka tiga mata penuh semalam.

Apa pendapat anda mengenai kemenangan pasukan PKNP FC ke atas pasukan Selangor pada perlawanan pembukaan kumpulan D semalam? Mampukah anak-anak buah Abu Bakar Fadzim ini meneruskan momentum semasa?

Dan apa yang diperlukan oleh Selangor untuk bangkit pada perlawanan seterusnya?

Baca Juga: Selangor Perlu Waspadai PKNP FC

Leave a Reply