Sumber Gambar: Sports247.my

Penyerang skuad bawah 23 tahun negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak berlepas ke Jepun hari ini bagi menjalani ujian bersama kelab divisyen 2 Liga Jepun, Roasso Kumamoto selama enam hari mulai Selasa ini.

Menurut laporan Berita Harian, Hadi nyata teruja dan sudah tidak sabar untuk menimba ilmu bersama Roasso Kumamoto. Beliau juga melihat ini adalah satu peluang yang baik untuk meningkatkan kemahiran beliau menjelang temasya AFC Bawah 19 Tahun yang akan bermula pada Oktober.

Tambah Hadi, beliau berterima kasih kepada ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun ngara, Datuk Ong Kim Swee yang memberikan pelepasan untuk beliau terbang ke Jepun. Selain berterima kasih kepada Datuk Ong, Hadi juga berterima kasih kepada Bojan Hodak serta Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada kerana membantu beliau menaja perjalanan Hadi ke Jepun.

Pemergian Hadi ke Jepun bermakna beliau tidak dapat bersama pasukan bawah 23 tahun negara dalam temasya Sukan Asia 2018 yang akan bermula pada 15 Ogos nanti.

Meskipun begitu, Datuk Ong merelakan kepergian Hadi ke Jepun dan beliau mahukan yang terbaik bagi penyerang Johor Darul Ta’zim II ini kerana peluang sebegini jarang didapati oleh pemain muda negara.

Datuk Ong juga melaungkan keyakinan dengan pemain sedia ada di barisan serangan dan percaya mereka mampu untuk menampilkan aksi terbaik.

Apa yang penting, tempoh ujian selama enam hari harus digunakan dengan sebaik mungkin oleh Hadi bagi memikat hati staf kejurulatihan Roasso Kumamoto sekaligus membolehkan beliau berpeluang untuk mendapat kontrak profesional bersama kelab divisyen 2 Liga Jepun itu.

Jadikan kegagalan pemain sebelum ini yang memutuskan untuk pulang ke tanah air sebagai pembakar semangat selama berada di Jepun. Dengan kerja keras dan juga kemahuan untuk berjaya yang tinggi, tiada apa yang mustahil bagi Hadi Fayyadh. Selamat berjaya anak muda!

Baca Juga: Hadi Fayyadh Jalani Ujian Bersama Kelab Jepun

Leave a Reply