Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John menasihatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya mengambil langkah berhati-hati untuk mengambil pemain naturalisi bagi mewakili skuad kebangsaan di pentas antarabangsa.

Menurut laporan Berita Harian, Datuk Windsor berpendapat pengambilan pemain naturalisasi boleh memberikan implikasi yang buruk kepada kepada FAM sekiranya tidak mematuhi garis panduan yang dikeluarkan oleh FIFA. Datuk Windsor menjadikan Timor Leste sebagai contoh.

Tambah beliau, AFC tidak mempunyai halangan sekiranya Malaysia atau negara lain yang mahu menggunakan pemain naturalisasi selagi ia mengikut peraturan FIFA. Apa yang penting, status pemain luar itu perlu diteliti sama ada dia memiliki pertalian darah atau sudah menetap dalam tempoh tertentu. Jika peraturan tidak dipatuhi tindakan disiplin boleh diambil.

Sebelum ini, FAM bersedia untuk membenarkan pemain naturalisasi untuk mewakili pasukan negara. Meskipun tidak dipersetujui oleh Menetri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, namun ramai pihak yang menyokong cadangan ini.

Kerisauan yang dizahirkan oleh Datuk Windsor ada betulnya kerana tidak semua pasukan yang bernasib baik dengan penggunaan pemain naturalisasi ini. Seperti contoh pasukan Timor Lester yang dijatuhi hukuman oleh AFC kerana didapati bersalah kerana memalsukan dokumen 12 pemain Brazil untuk mewakili negara itu.

Berdasarkan peraturan FIFA, seseorang pemain luar layak mewakili pasukan kebangsaan jika menetap sekurang-kurangnya lima tahun di negara itu selepas berusia 18 tahun atau memiliki pertalian darah di negara berkenaan.

Atas kesalahan yang dilakukan, Timor Leste tidak dibenarkan untuk bertanding di Piala Asia 2023 serta denda AS$20,000 (RM81,650) manakala 29 perlawanan antarabangsa mereka dibatalkan.

Nasihat Datuk Windsor ini harus diperhalusi oleh FAM bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku. Dalam keghairahan untuk mengambil pemain naturalisasi, FAM perlu berhati-hati dan memastikan mereka mengikut segala peraturan yang telah ditetapkan oleh FIFA.

Apa pendapat anda mengenai nasihat Datuk Windsor Paul John yang meminta FAM supaya berhati-hati dalam pengambilan pemain nasturalisasi bagi mewakili pasukan kebangsaan ? Adakah anda bersetuju dengan beliau ?

Baca Juga: Pemain Naturalisasi Untuk Cipta Impak Segera

Leave a Reply