Sumber Gambar: MFL

Selepas hasil undian Piala Cabaran diadakan pada 1 Ogos lepas, maka secara rasminya kita dapat melihat logo Piala Cabaran yang julung-julung kalinya diadakan pada musim 2018 ini. Selain itu, pasukan ATM dari Liga FAM dikenalpasti sebagai pasukan yang menggantikan Kuantan FA selepas menarik diri dalam saingan bolasepak Malaysia.

KUMPULAN A

Kumpulan A yang diisi oleh pasukan Liga Super (Negeri Sembilan) dan 3 pasukan Liga Perdana (UKM FC, Sarawak, Terengganu FC II), di mana Negeri Sembilan bakal menjadi penghuni Liga Perdana musim depan dan juga Terengganu FC II akan turun ke Liga FAM.

Di atas kertas, kedudukan Negeri Sembilan dari Liga Super menjadi satu kelebihan, namun berdasarkan prestasi, jumlah gol yang bolos oleh pasukan Liga Super tersebut dalam 47 gol (dalam 22 perlawanan) berbanding 27 jaringan yang dihasilkan adalah satu kebimbangan.

Sedikit perbandingan, Sarawak hanya bolos 35 gol (dalam 20 perlawanan) berbanding 27 jaringan yang dihasilkan dalam Liga Perdana. Walaupun perbandingan ini dilihat kurang tepat kerana status liga masing-masing.

Berdasarkan rekod pertemuan, ketiga-tiga pasukan telah bertemu sesama sendiri di saingan liga, walaupun Negeri Sembilan pernah berjumpa UKM FC dalam dua kali perlawanan persahabatan di Stadium UKM Bangi, 30 Mac dan 20 April lepas.

KUMPULAN B

Jika diikutkan kedudukan liga, maka sepatutnya JDT II lebih layak untuk ikut serta Piala Malaysia berbanding Sabah. Namun status feeder team menyebabkan JDT II bermain di Piala Cabaran. Bagi ATM FA pula, walaupun mereka bukan termasuk 4 pasukan yang layak ke separuh akhir Liga FAM, namun mereka mendapat pengalaman untuk beradu tenaga dengan wakil Liga Perdana.

Status JDT II sebagai feeder team kepada juara Liga Super lima kali berturut-turut, ditambah dengan kedudukan liga menjadikan mereka pasukan pilihan untuk menjuarai piala ini bersama-sama Negeri Sembilan.

Apalagi jumlah jaringan mereka lebih banyak berbanding jumlah bolos (28-23 dalam 20 perlawanan), berbanding pasukan Liga Perdana lainnya (UiTM FC dan Pulau Pinang). ATM FA juga mempunyai jumlah jaringan yang lebih berbanding jumlah bolos (14-9 dalam 12 perlawanan), namun di dalam saingan Liga FAM yang kurang kompetitif dan tanpa bantuan pemain import, ianya bukan satu perbandingan yang adil.

Berdasarkan rekod, ATM FA sahaja pernah berjumpa dengan pasukan lain dari Kumpulan B, iaitu semasa perlawanan persahabatan menentang JDT II, di mana JDT II menang 4-0 di Stadium MINDEF pada 14 Januari lepas.

RUMUSAN

Prestasi Negeri Sembilan sebagai pasukan pilihan jelas harus dimanfaatkan oleh pasukan bimbingan Mario Lemos. Sarawak dan UKM FC mungkin dilihat sebagai penghalang utama, namun jika berdasarkan one man team, Bobby Gonzales (Sarawak) dan Akanni Sunday-Wasiu (Terengganu FC II) boleh menjadi cabaran kepada pertahanan Negeri Sembilan yang diketuai oleh Alex Moraes dan Rizal Fahmi.

Jika mereka kehilangan mata di Paroi (apalagi kepada UKM FC dan Terengganu FC II), berkemungkinan Negeri Sembilan menjadi naib juara kumpulan dan bakal berhadapan JDT II seawal peringkat separuh akhir.

Begitu juga dengan JDT II, di mana mereka satu-satunya pasukan dalam Piala Cabaran yang memiliki jumlah jaringan lebih tinggi berbanding jumlah bolos (selain ATM FA). Status sebagai pasukan pilihan ini nampak begitu mudah bagi mereka, apalagi mereka hanya merekodkan sekali kekalahan dalam 11 perlawanan liga terakhir sejak Mei lepas.

Jika JDT II dipastikan menjadi juara kumpulan, slot naib juara akan menjadi rebutan di antara UiTM FC dan Pulau Pinang. Tanpa menidakkan semangat ATM FA, status mereka dari Liga FAM yang tanpa pemain import juga menjadi kelemahan buat mereka.

Nota: Artikel tentang 20 previu Liga Bolasepak Malaysia ini ditulis oleh Saudara Ariff Ansaruddin. Beliau merupakan tenaga pengajar di salah sebuah institut pengajian awam (UKM Bangi) dan pernah menuntut di Universitas Indonesia, penyokong Negeri Sembilan FA dan UKM FC.

Baca Juga: Negeri Sembilan Pasukan Pilihan

Leave a Reply