Sumber Gambar: Berita Harian

Ketua jurulatih pasukan Kuala Lumpur, Fabio Maciel menjadi mangsa seterusnya dalam polemik merehatkan jurulatih dalam saingan Liga Malaysia apabila Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) mengambil keputusan untuk merehatkan beliau dari tugas sebagai ketua jurulatih.

Menurut laporan Dunia Sukan, perkara ini dijelaskan oleh sumber dalaman KLFA dan merupakan tindakan drastik setelah Kuala Lumpur dibelasah oleh Terengganu FC 5-1 pada perlawanan pertama kumpulan A saingan Piala Malaysia 2018.

Fabio Maciel mengambil alih The City Boys ketika pasukan itu berada di tangga kelapan dalam saingan Liga Perdana musim lalu. Hasil sentuhan Fabio, Kuala Lumpur berjaya muncul juara Liga Perdana 2017 sekaligus kembali ke kancah Liga Super musim 2018.

Dalam saingan Liga Super musim ini, Kuala Lumpur menamatkan saingan di tangga ke-10 dan menjadi satu-satunya pasukan yang berjaya menewaskan Johor Darul Ta’zim. Selain itu, Kuala Lumpur menjadi pasukan yang menjaringkan gol kedua terbanyak di belakang JDT dalam saingan Liga musim ini dengan jumlah 39 gol.

Sebagai rekod, musim ini sudah lima jurulatih dari pasukan Liga Super yang direhatkan iaitu P.Maniam (Selangor), Azraai Khor (Negeri Sembilan), Ramon Marcote (Kedah), Eduardo Almeida (Melaka United) dan Sathit Bensoh (Kelantan).

Keputusan ini nyata mengejutkan kerana bagi peminat Kuala Lumpur, Fabio merupakan ketua jurulatih yang bagus. Hanya saja kegagalan para pemain untuk mengekalkan momentum membuatkan mereka gagal untuk menamatkan saingan Liga di tangga terbaik.

Tempat Fabio Maciel untuk mengendalikan pasukan ketika ini bakal diambil alih oleh pembantunya, Chong Yee Fatt.

Apa pendapat anda mengenai keputusan KLFA untuk merehatkan Fabio Maciel ketika saingan Piala Malaysia baru sahaja memasuki satu perlawanan ? Adakah mereka membuat keputusan yang tepat ? Atau Fabio sebenarnya menjadi mangsa keadaan ?

Baca Juga: Terengganu FC Tampilkan Aksi Garang

Leave a Reply