Sumber Gambar: Kedah FA

Hasrat pasukan Kedah untuk menurunkan pemain tengah versetile mereka, Liridon Krasniqi pada perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim dalam saingan Piala Malaysia tidak kesampaian apabila pemain dari Kosovo ini masih lagi dalam proses pemulihan daripada kecederaan.

Menurut laporan Sinar Harian, ketua jurulatih Kedah, Nidzam Adha Yusoff berkata tempoh masa yang singkat tidak cukup buat Liridon pulih sepenuhnya setelah menjalani proses pemulihan kecederaan paha di Jerman.

Ketiadaan Mat Don diisi oleh pemain muda iaitu Halim Shaari pada perlawanan Kedah menentang Kelantan yang berkesudahan dengan keputusan seri. Halim dilihat menampilkan aksi yang baik dan dapat menampung ketiadaan Mat Don.

Tambah Nidzam lagi, dua pemain import yang diturunkan ketika perlawanan menentang Kelanta, Andik Vermansah dan Paulo Rangel serta pemain tempatan, Syazwan Zainon sebenarnya masih lagi belum mencapai tahap kecergasan yang dimahukan. Beliau berharap ketiga-tiga pemain ini cergas menjelang pertemuan menentang JDT dan dapat menyumbangkan sesuatu kepada pasukan.

Kami berpendapat ketiadaan Liridon sedikit-sebanyak akan merencatkan perancangan pasukan Kedah dalam kunjungan mereka ke Larkin Jumaat ini. Dalam empat musim terakhir, Liridon sememangnya menjadi nadi utama pasukan Kedah apabila beliau menunjukkan aksi yang baik dalam mengawal bahagian tengah pasukan Kedah.

Lihat saja prestasi pasukan Kedah menjelang penghujung saingan Liga Super musim ini. Tanpa Liridon dalam kesebelasan utama, Kedah gagal untuk mencatat sebarang kemenangan dalam lima perlawanan terakhir Liga sekaligus terlepas peluang untuk menamatkan saingan di tangga kedua.

Selain bakal turun tanpa Liridon Krasniqi pada Jumaat ini, Kedah juga tidak dapat menggunakan khidmat Baddrol Bakhtiar, Akhyar Rashid dan Rizal Ghazali kerana ketiga-tiga pemain ini menyertai skuad bawah 23 tahun negara. Satu tugas yang sukar menanti mereka.

Apa pendapat anda mengenai ketiadaan Liridon Krasniqi dalam kesebelasan utama Kedah apabila mereka menentang Johor Darul Ta’zim pada Jumaat ? Mampukah anak-anak buah Nidzam Adha Yusoff mencatat keputusan positif di Larkin ? Atau mereka bakal tersungkur sekali lagi ?

Baca Juga: Prestasi Pasukan Kedah Semakin Merudum

Leave a Reply