Sumber Gambar: mStar

Akhirnya bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mengeluarkan kenyataan berkenaan dengan kemelut kepimpinan terkini KAFA. Annuar Musa membidas Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan yang menggesa kepimpinan terdahulu menyelesaikan segala liabiliti lama yang ditinggalkan. Bibi Ramjani turut menyalahkan kepimpinan terdahulu atas kemelut yang berlaku dalam kem pasukan sehingga menyebabkan kemerosotan prestasi pasukan Kelantan.

Annuar bercakap kepada Stadium Astro “kalau mahu pengurusan lama bayar hutang, jangan ambil alih persatuan itu”. Beliau menambah “Ini sistem jenis apa yang dipakai oleh persatuan terkini? Hutang KAFA bukan hutang peribadi dan sesiapa yang mahu mengambil alih persatuan perlu tahu apa itu aset dan apa itu liabiliti malah ketika kami mengambil persatuan lama pada 2008, pengurusan terdahulu juga meninggalkan hutang dan kami tidak pernah meminta mereka untuk bayar sebaliknya kami mencari alternatif untuk menyelesaikan hutang tersebut.”

Bagi Tan Sri Annuar, seorang calon presiden sepatutnya sedar akan risiko dan bebanan yang akan dipikul apabila memenangi kerusi Presiden persatuan.

Kedua-dua tokoh tersebut berbalas sindiran tentang kegagalan pengurusan yang dialami KAFA. Kali ini drama berbalas sindiran memasuki pusingan kedua dengan kedua-dua pihak masih berpegang dengan pendapat masing-masing.

Tan Sri Annuar yang memimpin KAFA lebih 10 tahun telah meletakkan benchmark pasukan Kelantan ditempat yang tersendiri dengan zaman kegemilangan yang dicapai oleh pasukan Kelantan. Dari pasukan yang bertanding di Liga FAM menjadi kuasa besar yang sangat digeruni dalam arena bola sepak tempatan.

Diharapkan kemelut ini segera berakhir dan pasukan Kelantan akan kembali bersaing di peringkat tertinggi bola sepak negara. Peminat bola sepak negara terutamanya peminat pasukan negeri Cik Siti Wan Kembang pastinya merindui zaman kegemilangan The Red Warriors menjadi fenomena Lautan Merah ketika memenangi “Treble” pada musim 2012. Ayuh bangkitlah Kelantan!

Nota: Artikel ini diitulis oleh Saudara Emeir Hayqal. Jika anda mempunyai artikel yang ingin dikongsikan, hubungi kami melalui laman media sosial Inikan Bola.

Baca Juga: “Kawe Tok Putuh Aso” Bibi Ramjani Ilias Khan

Leave a Reply