Sumber Gambar: JST

Saingan bagi memperebutkan trofi Piala Cabaran edisi yang pertama telah bermula semalam dengan perlawanan kumpulan A berlangsung. Malam ini, perlawanan kumpulan B akan dilangsungkan dan salah satu pasukan, Johor Darul Ta’zim II dilihat boleh muncul juara dalam edisi pertama ini.

Piala Cabaran sememangnya dipandang sebagai kejohanan kelas kedua setelah Piala Malaysia kerana diisi oleh pasukan yang gagal untuk beraksi dengan baik dalam saingan Liga masing-masing. Namun, peminat masih lagi disajikan dengan kejutan dan aksi yang tersendiri.

Berbalik kepada JDT II, jika dilihat dari segi barisan pemain yang dimiliki oleh pasukan bimbingan Benjamin Mora ini, mereka sememangnya layak untuk dilabel sebagai antara pasukan pilihan. Pemain yang pernah mewakili pasukan kebangsaan kini beraksi bersama JDT II.

Pemain seperti Shakir Shaari, Amirul Hadi Zainal, Ameer Saidin dan dicampur oleh pemain import yang mempunyai kualiti baik seperti Nicolas Fernandez. Belum lagi dengan barisan pemain daripada pasukan abang mereka seperti Nazmi Faiz Mansor dan Darren Lok yang dibenarkan untuk mewakili JDT II.

Malam ini, JDT II akan menentang pasukan UiTM FC dan penting untuk mereka mengutip tiga mata penuh bagi memberikan kelebihan awal dalam saingan peringkat kumpulan.

Johor Darul Ta’zim II mempunyai rekod yang baik dalam saingan Liga Perdana musim ini apabila mereka menentang UiTM FC. Satu keputusan seri dan satu keputusan menang berjaya diraih oleh JDT II. Berdasarkan rekod ini, ditambah dengan barisan pemain sedia ada, pasukan bimbingan Benjamin Mora sepatutnya tiada masalah untuk meraih tiga mata penuh.

Apa yang pasti, Piala Cabaran merupakan satu trofi yang berbaloi untuk diperjuangkan kerana pemenang akan dijanjikan satu slot dalam saingan Piala Malaysia musim hadapan. Selain itu, dengan memenangi trofi Piala Cabaran, ia akan menjadi satu moral boost terhadap pemain itu sendiri.

Apa pendapat anda mengenai peluang Johor Darul Ta’zim II untuk meraih trofi Piala Cabaran 2018 ? Mampukah anak-anak buah Benjamin Mora menampilkan aksi terbaik sekaligus memahat sejarah sebagai pemenang pertama Piala Cabaran ?

Baca Juga: “Pasukan Pilihan” Bermula Dengan Langkah Kiri

Leave a Reply