Sumber Gambar: MFL

Pasukan pilihan untuk muncul juara dalam saingan Piala Cabaran edisi pertama, Negeri Sembilan memulakan saingan dengan langkah kiri apabila mereka tewas kepada pasukan Terengganu FC II semalam.

Setelah tidak dapat beraksi dalam saingan Piala Malaysia kerana menamatkan saingan Liga Super musim ini di tangga tercorot, Negeri Sembilan sedar Piala Cabaran merupakan satu medan terbaik untuk mengubagi duka tersingkir ke saingan Liga Perdana musim hadapan dan tidak beraksi dalam saingan Piala Malaysia.

Menentang pasukan yang berkemungkinan bakal dibubarkan pada musim hadapan, Negeri Sembilan sepatutnya tidak menghadapi sebarang masalah dan dijangka mudah untuk mengutip tiga mata penuh. Namun, perkara sebaliknya berlaku.

Negeri Sembilan dilihat bergelut untuk mencipta peluang bagi membolehkan mereka mencari jaringan. Sepanjang perlawanan, pemain Negeri Sembilan hanya merekodkan 3 “shot on target” sahaja.

Yang paling mengecewakan adalah barisan serangan The Jang yang seakan-akan sudah ketandusan idea dan tidak mampu untuk menembusi pertahanan lawan. Berbeza dengan kebangkitan yang mereka lakar pada penghujung saingan Liga Super.

Bagi Terengganu FC II pula, mereka bijak mengambil kesempatan di atas kelekaan pemain Negeri Sembilan dan berjaya menjaringkan gol tunggal perlawanan menerusi Haidhir Suhaini pada minit ke-46. Kejutan yang dilakar oleh adik kepada Terengganu FC ini nyata tidak diduga kerana mereka menamatkan saingan Liga Perdana musim ini di tangga tercorot.

Kemenangan ke atas Negeri Sembilan meletakkan Terengganu FC II di belakang pasukan UKM FC yang menang besar ke atas Sarawak semalam. Jika para pemain Terengganu FC II berjaya mengekalkan momentum, tidak mustahil mereka boleh mara ke peringkat separuh akhir.

Langkah kiri pasukan bimbingan Mario Lemos pula meletakkan mereka di tangga ketiga. Suka ataupun tidak, mereka wajib bangkit pada perlawanan seterusnya jika mahu mara ke peringkat seterusnya.

Apa pendapat anda mengenai kekalahan pasukan Negeri Sembilan di tangan Terengganu FC II? Apa faktor utama yang menyebabkan kekalahan Negeri Sembilan semalam?

Baca Juga: Bruno Suzuki Seru Rakan Sepasukan Tampilkan Aksi Terbaik

Leave a Reply