Sumber Gambar: FAM

Pasukan Malaysia bawah 23 tahun akan menghadapi ujian terakhir sebelum bertolak ke Indonesia apabila anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee akan menentang pasukan UAE bawah 23 tahun di Stadium Shah Alam dalam satu perlawanan persahabatan pada jumaat ini.

Setelah menjalani perlawanan persahabatan menentang China pada Ahad lalu, Datuk Ong merasakan pasukan negara perlukan satu lagi perlawanan persahabatan bagi memperbaiki segala kelemahan. Meskipun tewas, namun beliau gembira melihat persembahan pemain muda negara.

Pada perlawanan menentang UAE bawah 23 ini, kami melihat ada dua perkara yang berkemungkinan besar akan dilakukan oleh Datuk Ong. Yang pertama, Datuk Ong bakal menurunkan kesebelasan yang sama ketika pasukan negara tewas kepada China pada Ahad lalu.

Menurut Datuk Ong, beliau mahu memperbaiki kelemahan di bahagian pertahanan dan juga bahagian tengah pasukan. Kelemahan dua bahagian ini dapat dikesan ketika perlawanan menentang China.

Yang kedua, Datuk Ong mungkin akan menurunkan pemain-pemain simpanan bagi memastikan mereka bersedia untuk diturunkan sekiranya ada pemain utama yang mengalami kecederaan.

Pemain seperti Syahmi Safari boleh diturunkan bagi menggantikan Rizal Ghazali di bahagian wing back pasukan negara. Di bahagian pertahanan pula, Syazwan Zaipol Bahari dan Rodney Calvin boleh diketengahkan.

Di bahagian tengah pula, Danial Amier Norhisham boleh dimasukkan bagi menggantikan Nik Akif Syahiran manakala Faisal Halim, R.Kogileswaran dan N.Thanabalan boleh diturunkan di bahagian serangan.

Apa yang pasti, ujian terakhir sebelum para pemain terbang ke Indonesia ini harus dimanfaatkan dengan baik oleh para pemain bagi memperbaiki segala kelemahan dalam pasukan. Penting untuk mereka berada dalam keadaan yang baik kerana sepak mula sukan bola sepak Sukan Asia 2018 akan bermula dalam masa seminggu dari sekarang.

Pasukan bawah 23 tahun negara akan menentang Kyrgyztan pada 15 Ogos diikuti dengan perlawanan menentang pemenang pingat emas daripada edisi lalu, Korea Selatan pada 17 Ogos. Pasukan bimbinggan Datuk Ong Kim Swee akan mengakhiri perlawanan kumpulan E dengan menentang Bahrain pada 20 Ogos.

Baca Juga: Bayangan Kesebelasan Utama Pasukan Negara

Leave a Reply