Sumber Gambar: The Star

Ketua jurulatih pasukan Perak, Mehmet Durakovic dikhabarkan menjadi pilihan utama untuk mengisi jawatan sebagai ketua jurulatih pasukan Selangor pada saingan musim hadapan. Sebelum ini, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon menyatakan ada 4 jurulatih yang berpotensi untuk dilantik sebagai ketua jurulatih Selangor yang baru.

Nama Mehmet sememangnya tidak asing lagi bersama pasukan Selangor. Beliau menjadi legenda ketika beraksi sebagai pemain dan juga ketika menjadi ketua jurulatih pasukan Selangor selama dua musim. Mehmet merupakan watak penting ketika Selangor meraih gelaran ke-33 Piala Malaysia dengan menewaskan pasukan Kedah di perlawanan akhir.

Pada permulaan musim 2016, ketegangan antara Mehmet dan pihak Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) berlaku ketika itu sehinggakan membuat Mehmet angkat kaki daripada menjadi ketua jurulatih pasukan.

Khabarnya, Mehmet tidak berpuas hati apabila Zainal Abidin Hassan diberikan jawatan sebagai ketua jurulatih manakala beliau diberikan jawatan sebagai pengurus pasukan. Setelah meninggalkan Selangor, Mehmet kemudiannya menjadi ketua jurulatih pasukan Perak.

Dengan prestasi yang tidak menentu pasukan Selangor musim ini, kami berpendapat FAS sudah pasti mahu mencari jurulatih yang lebih berwibawa untuk membimbing pasukan Selangor pada saingan musim hadapan.

Meskipun ketua jurulatih ketika ini, Nazliazmi Nasir berjaya membawa Selangor ke perlawanan akhir Piala FA, namun bagi peminat pencapaian tersebut masih lagi tidak mencukupi kerana Selangor gagal untuk memberikan saingan dalam Liga Super dan hanya mampu menamatkan saingan di tangga kelapan.

Walau apa pun, pihak FAS belum lagi mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan jurulatih masa yang mereka lantik bagi membimbing Selangor pada musim hadapan. Apa yang diketahui oleh peminat, calon yang sudah masuk dalam senarai FAS ialah dua jurulatih tempatan dan dua jurulatih asing.

Apa pendapat anda mengenai legenda pasukan Selangor, Mehmet Durakovic yang dikhabarkan menjadi pilihan utama untuk menjadi pengendali Selangor pada musim hadapan ? Adakah Mehmet jurulatih yang sesuai untuk mengembalikan era kegemilangan pasukan Selangor ?

Baca Juga: 4 Jurulatih Yang Boleh Dipertimbangkan FAS

Leave a Reply