Sumber Gambar: Sports247.my

“Sepatutnya pecat saya, bukannya rehatkan”. Itulah kenyataan yang dikeluarkan oleh ketua jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Maciel setelah Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) mengambil keputusan untuk merehatkan beliau.

Menurut laporan Utusan, Fabio sudah tahu tentang kesukaran yang perlu dihadapi pada awal musim ini. Meskipun semua pihak terlibat dalam menguruskan pasukan, namun pada akhirnya jurulatih juga yang dipersalahkan. Fabio turut menceritakan kesusahan yang dihadapi ketika mengambil alih pasukan.

“Saya tidak mempunyai penolong jurulatih selama sebulan, 40 hari tanpa jurulatih penjaga gol dan dua bulan tanpa jurulatih kecergasan.

“Saya tidak akan mengambil tindakan terhadap KLFA kerana perkara seperti ini adalah lumrah dalam bola sepak kerana jika kelab fikir masa anda sudah sampai mereka akan tamatkan perkhid­matan anda. Saya OK.

“Cuma saya tidak suka dengan perkataan rehat. Bagi saya rehat tidak wujud dalam dunia profesional kejurulatihan. Ini kali pertama saya berdepan dengan masalah seperti ini. Jika tidak suka kelab sepatutnya pecat saya dan bukannya merehatkan saya.

“Ini kerana apabila anda sudah direhatkan anda tidak akan kembali bersama pasukan. Saya tahu mengenainya. Tugas saya diambil oleh penolong jurulatih iaitu Chong Yee Fatt. Saya ingin me­ngucapkan terima kasih kepada barisan kejurulatihan yang memberi sokongan secara profesional kepada saya,”

Tambah Fabio, sebab utama beliau direhatkan ialah kerana prestasi The City Boys dalam saingan Liga Super yang kurang memuaskan dan mereka memulakan saingan Piala Malaysia 2018 dengan langkah kiri apabila dibellasah terengganu FC dengan keputusan 5-1.

Keputusan KLFA untuk merehatkan Fabio juga mengundang pertanyaan dikalangan peminat kerana mereka menganggap Fabio adalah seorang jurulatih yang bagus. Hanya saja kegagalan pemain untuk mengekalkan momentum yang menjadi penyumbang kepada persembahan tidak konsisten Kuala Lumpur.

Akhir sekali, Fabio menjelaskan bahawa beliau tidak menerima gaji sejak Julai lalu dan masih lagi menunggu jawapan daripada KLFA sama ada mahu melangsaikan tunggakan gaji beliau sekaligus ataupun mahu membayar tunggakan tersebut secara ansuran.

Baca Juga: Fabio Maciel Mangsa Seterusnya

Leave a Reply