Sumber Gambar: Semuanya Bola

Setelah kehilangan beberapa tonggak utama, hari ini Datuk Ong Kim Swee terpaksa menelan satu lagi kepahitan apabila terpaksa melupakan khidmat penyerang, N. Thanabalan untuk saingan Sukan Asia 2018 yang akan bermula pada minggu hadapan.

N.Thanabalan bakal mengikut jejak Aidil Zafuan, Syamer Kutty Abba dan Jafri Firdaus Chew yang telahpun disisihkan akibat kecederaan selain Azam Azih dan Matthew Davies yang tidak melaporkan diri bersama skuad negara.

Berita itu disahkan sendiri oleh Datuk Ong Kim Swee di pusat latihan Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Menerusi laporan Pengimejan Reasonans Magnetik (MRI), menunjukkan lutut pemain berusia 23 tahun itu mengalami kecederaan yang agak teruk dan memerlukan proses pemulihan yang panjang.

Namun menurut pengendali berusia 47 tahun itu beliau mempunyai pengganti untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pemain Negeri Sembilan tersebut. “Seperti saya katakan pemain sedia ada mampu mengisi kekosongan dan perlawanan esok adalah perlawanan penting sebelum menghadapi ujian sebenar menentang Kyrgyzstan 15 Ogos untuk perlawanan pembukaan.”

Justeru, Kim Swee menjelaskan aksi pemanas badan terakhir menentang skuad B-23 Emiriah Arab Bersatu (UAE) bakal menjadi platform untuk mencari adunan terbaik bagi menentukan kesebelasan utama negara dan medan tersebut penting kepada setiap pemain untuk bersedia mengisi mana-mana kekosongan yang ditinggalkan rakan sepasukan. Perlawanan persahabatan ini akan memberikan gambaran sebenar kepada kepada skuad negara untuk mengharungi kempen Sukan Asia 2018.

N.Thanabalan yang ditemui mengakui kecewa dengan kecederaan yang dialami di saat skuad negara memerlukan khidmatnya. “Ianya adalah kecederaan lama sebelum perlawanan menentang Fiji tempoh hari”.

Namun beliau tidak mahu menjadikan episod sedih itu menghalangnya untuk kembali lebih kuat dan beliau mendoakan kejayaan buat rakan sepasukannya di Indonesia nanti. Nama Thanabalan menjadi bualan ramai apabila membantu skuad B-23 negara mara ke peringkat ke pentas final Sukan SEA 2017.

Dalam perkembangan lain, kecederaan pangkal paha yang dialami Danial Amier Norhisham masih berada di dalam keadaan 50-50 dan Datuk Ong Kim Swee optimis Danial Amier dapat cergas pada perlawanan kedua nanti.

Datuk Ong Kim Swee juga akan memanggil kembali pemain tinggi lampai Hadi Fayyadh Abdul Razak yang sedang menjalani ujian bersama kelab Jepun, Roasso Kumamoto sebaik pemain itu pulang ke tanah air pada 11 Ogos ini. Diharapkan berita tersebut dapat memberi perkhabaran positif kepada kem negara setelah kehilangan beberapa tonggak.

Nota: Artikel ini ditulis oleh Saudara Emeir Hayqal. Jika anda mempunyai artikel yang ingin dikongsikan, hubungi kami menerusi laman media sosial Inikan Bola.

Baca Juga: “Empat Minggu Untuk Saya Pulih” Jafri Firdaus Chew

Leave a Reply