Sumber Gambar: Sindonews

Pada Khamis, skuad muda negara bawah 16 tahun yang diwakili oleh pemain daripada Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) tewas 0-1 kepada skuad muda Indonesia di dalam stadium yang dipenuhi puluhan ribu penyokong tuan rumah.

Dengan segala kontroversi yang tercetus sebelum pertandingan menjadikan perlawanan tersebut ibarat perlawanan akhir buat kedua-dua pasukan. Intensiti dan tempo permainan yang tinggi sememangnya menuntut pemain-pemain muda negara mempunyai mental yang kuat untuk menyerap segala tekanan. Namun apakah pemain-pemain kita sudah benar-benar memiliki mentaliti kuat sebagai pemain bolasepak? Atau kita panggil sebagai winning mentality?

Walaupun menurut NFDP, pada dasarnya skuad yang dihantar ke Indonesia merupakan skuad kedua dan bukannya barisan terbaik dari kelompok pemain-pemain bawah 16 tahun yang kita ada namun peminat-peminat tidak melihat perkara itu sebagai suatu alasan untuk skuad muda ini tidak menyinar. Program NFDP yang digembar-gemburkan mempunyai DNA permainan sendiri dan dilatih oleh jurulatih terbaik seharusnya tiada jurang begitu besar antara skuad utama dan skuad kedua.

Namun jika ini yang ditampilkan oleh pemain-pemain muda kita nampaknya program ini tidak lebih kepada program penambahbaikan dari program Harimau Muda yang diwujudkan oleh FAM suatu ketika dahulu. Pemain-pemain yang seharusnya memiliki mentaliti kuat untuk bergelar juara nampak longlai ketika berhadapan pasukan tuan rumah di separuh akhir.

Mungkin kita tidak boleh meletakkan kegagalan ini seratus peratus ke bahu pemain dan jurulatih yang ditugaskan untuk membimbing pemain kita dalam pertandingan ini. Mungkin kerana segala kontroversi dan ketegangan yang dicetuskan sebelum perlawanan antara kedua-dua negara memainkan peranan atas kekalahan skuad muda ini yang sememangnya masih muda dan mentah dari segi pengalaman.

Bagi saya, pencapaian pemain-pemain muda ini boleh dibanggakan dengan melihat kepada prestasi ketika peringkat kumpulan, yang mana pemain-pemain ini juga dicemuh dan dicaci oleh penyokong tuan rumah walaupun ketika berhadapan dengan pasukan dari negara lain. Kekalahan 1-2 di tangan Thailand dan kemudian bangkit bertemu Brunei dan Singapura dengan kemenangan besar sebelum menang dalam perlawanan penentuan bertemu Laos yang disifatkan sebagai ‘surprise package’ dalam pertandingan ini setelah berjaya mengikat Thailand dalam perlawanan terdahulu sebelum bertemu Malaysia, bagi saya wajar diberikan kredit.

Namun melihat kepada jutaan ringgit yang telah dilaburkan untuk Program Pembangunan Bolasepak Negara ini, semestinya pencapaian yang lebih baik perlu ditampilkan oleh skuad muda negara. Mungkin suatu penambahbaikan perlu dilakukan sekiranya program ini ingin diteruskan.

Tetapi pada pandangan peribadi saya, kelab bolasepaklah yang seharusnya memainkan peranan dalam program pembangunan. Jika setiap kelab ada akademi yang diselaraskan dengan falsafah bolasepak kebangsaan dan dipantau secara berterusan manakala pemain-pemain muda yang dihasilkan pula mempunyai platform untuk menunjukkan bakat seperti mewujudkan liga kompetitif untuk setiap peringkat umur pastinya program seperti NFDP tidak perlu diwujudkan.

Namun apapun, saya ucapkan syabas buat anak-anak muda Malaysia yang telah berjuang di bumi Indonesia. Diharap selepas ini giliran ‘abang-abang’ mereka iaitu skuad bawah 23 tahun pula akan mempamerkan aksi terbaik dalam Sukan Asia yang bakal berlangsung di negara yang sama.

Sekurang-kurangnya peminat mengharapkan pencapaian dan aksi bertenaga ketika kejohanan AFC bawah 23 lalu dapat ditampilkan sekali lagi oleh skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee kali ini. Buat peminat Indonesia, diharapkan ‘fierce rivalry’ antara kedua-dua negara ini memberikan impak positif untuk perkembangan bolasepak kita. Dan biarkan ianya hanya di padang, sewaktu perlawanan, janganlah dibiarkan melarat ke luar stadium dan mencetuskan permusuhan yang berpanjangan antara kedua-dua negara.

Buat Program Pembangunan Bolasepak Negara, diharapkan pertandingan AFC U16 nanti akan memperbetulkan persepsi negatif rakyat Malaysia mengenai keberkesanan program ini. Bagi kami, hanya layak ke Piala Dunia U17 sahaja yang boleh membuktikan program ini berkesan dan membuahkan hasil. Tidak guna menang pelbagai kejohanan di Eropah dan menang dengan akademi-akademi terbaik kelab-kelab besar Eropah sekiranya Asia tidak mampu kita takluki.

Nota: Artikel ini ditulis oleh individu yang mahu dikenali dengan nama KingsGambit.

Baca Juga: FAM Punyai Perancangan Mengenai NFDP

Leave a Reply