Sumber Gambar: MFL

Pasukan dari saingan Liga Perdana, MISC-Mifa meneruskan rentak cemerlang mereka dalam saingan peringkat kumpulan C apabila menewaskan pasukan Kelantan dengan keputusan 2-0 semalam.

Setelah menewaskan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim minggu lalu, motivasi para pemain Mifa nyata tidak berkurang dan mereka dilihat lebih bernafsu dalam mencari jaringan. Para pemain Mifa melakukan asakan bertali arus ke kubu pertahanan Kelantan dan usaha mereka membuahkan hasil apabila penyerang import, Kpah Sherman membuka tirai jaringan pada minit ke-25.

Tersentak dengan gol Mifa, Kelantan cuba bangkit dalam perlawanan ini melalui beberapa gerakan berbahaya, namun benteng MISC-MIFA tenang menyerap segala asakan dan tidak dibolosi. Separuh masa pertama tamat dengan Mifa berada di hadapan.

Memasuki separuh masa kedua, Kelantan dilihat sukar untuk menembusi pertahanan MISC-MIFA yang dikawal kemas dimana gandingan Cristiano Santos dan Mohammad Imran Samso dilihat menemui jalan buntu.

Ketika Kelantan sedang berusaha mencari gol penyamaan, Mifa kemudiannya mengejutkan mereka apabila J.Satrunan menjaringkan gol kedua pasukan sekaligus menutup peluang Kelantan untuk bangkit.

Kemenangan ini bermakna MISC-MIFA menerajui Kumpulan C selepas dua perlawanan dengan enam mata, diikuti oleh JDT di tangga kedua dengan 3 mata.

Bagi pasukan bimbingan Yusri Che Lah pula, mereka seakan-akan masih lagi mencari rentak dalam saingan Piala Malaysia edisi kali ini. Mereka gagal untuk mengulangi persembahan baik ketika mengikat Kedah minggu lalu.

Penyerang import, Cristiano Santos juga masih lagi gagal untuk menampilkan permainan terbaik beliau. Peminat juga sudah hilang sabar dengan penyerang berusia 33 tahun ini.

Kekalahan semalam membuatkan Kelantan mendudukintangga ketiga ketika ini dan mereka perlu segera mencatat kemenangan jika mahu mempunyai peluang untuk mara ke peringkat suku akhir.

Apa pendapat anda mengenai kemenangan MISC-Mifa ke atas pasukan Kelantan semalam? Mampukah mereka mengekalkan rentak cemerlang apabila bertemu Kedah pada perlawanan seterusnya?

Dan apa yang diperlukan oleh pasukan Kelantan untuk mereka bangkit pada perlawanan akan datang?

Baca Juga: Malaysia Gagah Walau Diasak Pak Arab

Leave a Reply