Sumber Gambar: MFL

Prestasi naib juara Piala Malaysia musim lalu, Kedah semakin merosot apabila mereka dibelasah oleh juara bertahan, Johor Darul Ta’zim dengan keputusan 5-1 pada perlawanan kumpulan C semalam.

Kedah pada mulanya menunjukkan aksi yang mantap meskipun mereka ketinggalan menerusi jaringan Fernando Marquez pada minit ke – 13. Ketua pasukan, Sandro Da Silva menyamakan kedudukan dimana pemain berusia 35 tahun ini bijak untuk memanfaatkan kesilapan barisan pertahanan JDT. Separuh masa pertama tamat dengan kedudukan 1-1.

Memasuki separuh masa kedua, segalanya berubah menjadi satu malapetaka bagi pasukan Kedah. Mereka seolah-olah hilang semangat untuk bermain dan para pemain JDT menggunakan peluang ini dengan sebaiknya bagi menambah jaringan.

Bermula dengan jaringan Natxo Insa pada minit ke-46, bekas penyerang skuad kebangsaan, Hazwan Bakri kemudiannya melebarkan kelebihan JDT pada minit ke-73. Gonzalo Cabrera dan S.Kunanlan kemudiannya masing-masing menjaringkan satu gol dan melengkapkan malam gemilang JDT sekaligus memberikan permulaan yang positif bagi Luciano Figueroa, Benjamin Mora dan Hamzani Omar.

Entah dimana silapnya pasukan Kedah dalam saingan Piala Malaysia kali ini. Mereka gagal untuk menampilkan aksi terbaik sekaligus menyebabkan pasukan menghadapi kesukaran untuk mara ke peringkat suku akhir.

Lebih parah lagi, ketika ketua jurulatih pasukan, Nidzam Adha Yusoff mengarahkan pemain di bangku simpanan untuk memanaskan badan, penyerang import, Paulo Rangel enggan berbuat demikian dan lebih suka duduk di bangku cadangan. Ini adalah satu tindakan yang tidak sepatutnya oleh seorang pemain import. Beliau perlu menunjukkan satu contoh yang baik kepada semua.

Bagi pasukan Johor Darul Ta’zim pula, kemenangan ini merupakan kemenangan yang dicari-cari bagi memulihkan moral pasukan setelah tewas mengejut kepada MISC-Mifa minggu lalu. Permulaan yang positif bagi Lucho yang dilantik sebagai pengurus pasukan yang baru berjaya membuktikan bahawa beliau sudah sedia untuk menggalas tugas yang diberikan.

Apa pendapat anda mengenai prestasi pasukan Kedah yang dilihat semakin merosot sejak kebelakangan ini? Apa puncanya? Dan mampukah JDT mengekalkan momentum kemenangan pada perlawanan akan datang?

Baca Juga: Luciano Figueroa Pengurus Baru Johor Darul Ta’zim.