Sumber Gambar: FA Selangor

Juara 33 kali Piala Malaysia, pasukan Selangor akan melayani kunjungan juara Piala FA 2018, pasukan Pahang di Stadium Shah Alam malam ini. Satu ujian yang sukar bagi The Red Giants kerana Pahang mempunyai rekod yang baik ke atas Selangor dalam saingan musim 2018.

Pasukan bimbingan Nazliazmi Nasir memulakan saingan Piala Malaysia edisi kali ini dengan langkah kiri apabila mereka tewas 3-0 di tangan PKNP FC. Kekalahan tersebut juga merencatkan kepulangan pasukan Selangor ke gelanggang keramat mereka iaitu Stadium Shah Alam.

Bagi mencerahkan peluang untuk mara ke peringkat suku akhir, Selangor wajib menang dan mereka perlu menampilkan persembahan yang lebih baik berbanding minggu lalu. Minggu lalu, segalanya serba tidak menjadi buat Selangor.

Bagi pasukan Pahang pula, mereka memulakan saingan Piala Malaysia 2018 dengan keputusan seri ketika menentang pasukan Sabah. Dan keputusan tersebut nyata mengejutkan ramai pihak kerana mereka dianggap pasukan pilihan untuk muncul juara.

Sama seperti Selangor, Pahang juga mahu meraih kemenangan bagi mencerahkan peluang mereka untuk mara ke peringkat suku akhir. Jika dilihat dari segi rekod pertemuan kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Super dan Piala FA, Pahang nyata mempunyai kelebihan ke atas Selangor.

Dalam saingan Liga Super, Pahang berjaya menewaskan Selangor di Cheras dan kemudiannya kedua-dua seri ketika berentap di Darul Makmur. Pada perlawanan akhir Piala FA 2018, Pahang menewaskan Selangor dengan keputusan 2-0. Jadi, Pahang semestinya menjadi pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan malam ini.

Walau apa pun, anak-anak buah Dollah Salleh tidak boleh memandangkan rendah keupayaan pemain Selangor. Segalanya boleh berlaku dalam saingan Piala Malaysia. Apa yang penting, kedua-dua pasukan perlu menampilkan aksi terbaik mereka.

Apa pendapat anda mengenai perlawanan diantara pasukan Selangor menentang pasukan Pahang di Stadium Shah Alam malam ini? Mampukah Selangor memgharungi cabaran sukar sekaligus mengutip tiga mata penuh malam ini?

Atau Pahang bakal meneruskan rentak cemerlang mereka ke atas Selangor?

Baca Juga: FAM Akan Ambil Tindakan Ke Atas UAE

Leave a Reply