Sumber Gambar: Pahang FA

Pengelola Liga Malaysia, Malaysia Football League (MFL) bersedia untuk mengubah polisi mereka mengenai isu pemain naturalisasi untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) tanpa perlu menunggu sehingga tempoh lima tahun.

Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, pihaknya ketika ini sedang bekerja bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi mengkaji dan mencari penyelesaian terbaik untuk meminda polisi terbabit.

Sebelumnya, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam menyatakan Mohamadou Sumareh perlu menunggu sehingga tahun 2023 untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan, meskipun beliau sudah mendapat kerakyatan Malaysia.

Beliau berkata, pemain yang bukan berdarah kacukan perlu memegang kerakyatannya untuk tempoh selama lima tahun sebelum boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan dalam pasukan itu.

Ketika Forum Penyokong Bersama Pengerusi MFL di hotel St Regis semalam, TMJ menyatakan bahawa beliau bersedia membantu untuk Sumareh didaftarkan sebagai pemain tempatan dalam saingan Liga agar beliau layak untuk mewakili pasukan kebangsaan.

TMJ juga menjelaskan kini MFL dan FAM telah mengadakan satu kerjasama dengan menubuhkan pasukan khas bagi mengkaji penggunaan dan juga implikasi penggunaan pemain naturalisasi ini. Ini kerana MFL dan FAM sentiasa mengutamakan pemain tempatan untuk mewakili skuad negara.

“Sekarang ini, FAM punya kedudukan dan MFL punya kedudukan adalah sama, iaitu kepentingan dan keutamaan adalah kepada pemain tempatan kita. Tetapi FAM sudah membuat kenyataan mengadakan satu pasukan dengan menggunakan pemain naturalisasi.

“Jadi kami sedang mengkaji dan melihat implikasi-implikasi tersebut dan minta satu ‘blueprint’ supaya pemain tersebut bukan saja boleh bermain sebagai pemain tempatan dalam liga, malah juga pasukan kebangsaan kita.

“Memang itu kajian sekarang ini, dan kita tengah tunggu apa laporan yang kita nak buat ke arah perkara itu.” kata beliau.

Apa yang pasti, peminat harus menunggu untuk kajian yang dijalankan oleh MFL dan FAM selesai terlebih dahulu bagi mendapatkan kepastian sama ada Sumareh boleh beraksi sebagai pemain tempatan sekaligus layak untuk mewakili pasukan kebangsaan.

Banyak perkara yang perlu diperhalusi sebelum membenarkan pemain naturalisasi mewakili Malaysia di pentas antarabangsa.

Baca Juga: Barisan Pertahanan Negara Wajar Diberikan Pujian

Leave a Reply