Sumber Gambar: Fourfourtwo

Jika kita bercakap mengenai pemain bintang yang sudah tidak kelihatan kelibatnya dalam kancah Liga Malaysia, sudah pasti banyak nama yang keluar di fikiran. Di sini, kami mahu membincangkan tentang bekas pemani Kelantan dan Johor Darul Ta’zim, Nurul Azwan Roya.

Nurul Azwan Roya atau yang lebih mesra dipanggil Awe merupakan pemain sayap terbaik yang pernah dimiliki oleh pasukan Kelantan. Menyertai The Red Warriors pada musim 2011, Awe kemudiannya menjadi sebahagian daripada musim gemilang Kelantan.

Pada musim 2011, Awe berjaya membantu Kelantan memenangi Liga Super dan mara ke perlawanan akhir Piala FA menentang pasukan Terengganu. Nurul berjaya menjaringkan gol pada perlawanan tersebut namun tidak cukup untuk membawa Kelantan muncul juara.

Pada musim berikutnya, Nurul Azwan membantu Kelantan memenangi Treble dengan menjadi juara Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia. Musim 2012 merupakan pencapaian terbaik Awe bersama Kelantan.

Setelah memenangi treble, Nurul Azwan kemudiannya menyertai pasukan yang sedang berevolusi, Johor Darul Ta’zim. Bersama JDT, Nurul Azwan beraksi dengan baik apabila beliau menyumbang 7 assist dan menjaringkan 4 gol.

Akan tetapi, setelah dua musim bersama JDT, Awe kemudiannya dilepaskan dan menyertai pasukan PDRM FA. Pada satu temu ramah bersama Fourfourtwo, Nurul Azwan menyatakan sukar untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama JDT setelah Bojan Hodak dilantik sebagai ketua jurulatih pada 2014.

Bersama PDRM, Awe hanya beraksi sehingga pertengahan musim dan beliau kemudiannya dilepaskan bersama-sama Muslim Ahmad kerana prestasi yang tidak memuaskan.

Setelah dilepaskan PDRM, Nurul Azwan kembali ke bumi Johor dan kali ini beliau mewakili Johor Darul Ta’zim II. Namun, jodoh Awe bersama JDT II tidak kekal lama apabila beliau dilepaskan pada pengujung musim 2016.

Kini, Nurul Azwan Roya dikhabarkan tidak terikat dengan mana-mana pasukan dalam saingan Liga Malaysia. Satu perkara yang amat disayangkan kerana beliau merupakan pemain sayap terbaik yang pernah beraksi dalam kancah Liga Malaysia.

Awe juga antara pemain yang menjadi nadi utama dalam era kegemilangan pasukan Kelantan di samping Norshahrul Idlan Talaha, Badhri Radzi, Khairul Fahmi Che Mat dan Daudsu Jamaluddin.

Baca Juga: The Southern Tigers Hilang Dua Penaja

Leave a Reply