Sumber Gambar: Bernama

Pasukan Jepun atau Samurai Biru berjaya melangkah ke peringkat suku akhir temasya Sukan Asia 2018 apabila menewaskan pasukan negara dengan keputusan 1-0 sebentar tadi.

Kedua-dua pasukan bermula dengan sedikit perlahan apabila tiada percubaan menarik yang dilancarkan oleh barisan serangan pasukan. Memasuki pertengahan separuh masa pertama, Malaysia memperoleh peluang untuk membuka tirai jaringan namun sepakan percuma yang diambil ol3u Baddrol Bakhtiar berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Jepun.

Jepun kemudiannya bangkit dengan melancarkan serangan ke kubu pertahanan pasukan negara. Mujur Haziq Nadzli berjaya menafikan beberapa percubaan yang dilakukan oleh pemain lawan. Separuh masa pertama tamat dengan kedudukan seimbang.

Memasuki separuh masa kedua, barulah kedua-dua pasukan meningkatkan usaha mereka untuk mencari jaringan. Peluang untuk menjaringkan gol hadir apabila Safawi dan Akhyar membuat percubaan salam tempoh masa dua minit. Namun, percubaan keduanya tersasar.

Barisan Jepun juga tidak ketinggalan membuat percubaan namun Haziq sekali lagi cemerlang dengan menidakkan percubaan pemain lawan. Safawi kemudiannya mempunyai peluang keemasan untuk membuka tirai jaringan namun sepakan percuma beliau terkena palang gol.

Sedang pasukan negara berkira-kira untuk beraksi pada masa tambahan, Jepun dianugerahkan sepakan penalti setelah Dominic Tan mengasari pemain Jepun. Ayase Ueda tenang mengambil sepakan tersebut sekaligus menghantar Jepun ke peringkat suku akhir.

Barisan negara cuba untuk mencari gol penyamaan namun sepakan percuma Safawi Rasid pada minit-minit terakhir perlawanan tidak menepati sasaran.

Perjalanan gemilang pasukan bawah 23 tahun negara ditamatkan oleh pasukan Samurai Biru. Walaupun begitu, barisan pemain negara wajar diberikan pujian kerana kerja keras dan kesungguhan mereka telah berjaya membawa Malaysia ke peringkat 16 pasukan terakhir.

Persembahan yang ditampilkan oleh para pemain juga menjadi indikasi bahawa mereka sudah sedia untuk menggalas cabaran beraksi bersama pasukan senior negara.

Apa pendapat anda mengenai kekalahan pasukan bawah 23 tahun negara kepada Jepun pada perlawanan sebentar tadi? Mampukah mereka mengekalkan momentum sekaligus menjadi harapan utama pasukan senior negara pada masa akan datang?

Baca Juga: Kecergasan Pemain Perlu Berada Di Tahap Maksimum

Leave a Reply