Sumber Gambar: JST

Juara Liga Super musim 2018, Johor Darul Ta’zim mengumumkan bahawa mereka kehilangan dua penaja bagi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Perkara ini diumumkan oleh YB. Dato’ Haji Ismail Karim, Presiden Persatuan Bola Sepak Johor menerusi laman media sosial JDT, Johor Southern Tigers sebentar tadi.

Menurut Dato’ Ismail, sebab utama mengapa dua penaja menarik diri ialah kerana kedatangan penyokong ke stadium semakin berkurangan sejak akhir-akhir ini. Namun beliau tidak menyebutkan penaja mana yang menarik diri.

Isu kedatangan penyokong ke stadium sememangnya menjadi masalah baru yang dihadapi oleh pengelola Liga Malaysia, Malaysia Football League (MFL) menuju ke akhir saingan Liga Super dan juga saingan Piala Malaysia edisi kali ini.

Bilangan penyokong yang datang ke stadium dilihat tidak sampai 4 ribu penonton dan perkara ini nyata merisaukan penaja untuk melaburkan wang mereka.

Tambah Dato’ Ismail, pengunduran diri penaja ini bermakna bajet tahunan pasukan Johor Darul Ta’zim akan dikurangkan sebanyak 20% ke 30% pada saingan musim hadapan.

Dengan bajet yang dikurangkan, maka JDT akan mempunyai bajet yang kecil dan pasukan tidak dapat membuat pelaburan sama ada di luar atau di dalam padang.

Jika melihat kepada keadaan semasa, berkemungkinan besar JDT tidak akan melakukan rombakan besar-besaran dan akan mengekalkan sebahagian besar pemain import dan tempatan mereka pada musim hadapan.

Perkara ini yang akan berlaku sekiranya para penyokong enggan hadir ke stadium untuk menyaksikan perlawanan pasukan kesayangan mereka. Pengunduran penaja boleh menyebabkan kantung pasukan terjejas dan ianya akan menimbulkan beberapa masalah seperti pembayaran gaji yang lambat.

Apa pendapat anda mengenai dua penaja yang menarik diri daripada menaja pasukan Johor Darul Ta’zim musim hadapan ? Adakah perkara ini akan memberi kesan kepada persembahan pasukan ?

Baca Juga: Safawi Mahu Jadi Pemusnah Malam Ini

Leave a Reply