Sumber Gambar: Berita Harian

Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) terpaksa melupakan hasrat mereka untuk membawa masuk Ronaldinho kerana kekangan kewangan. Sebagai ganti, PAFA mahu membawa masuk pemain dari kelab Liga Kejuaraan, Cardiff City secara pinjaman bagi memperkemaskan pasukan.

Menurut laporan Sukan Sinar, Presiden PAFA, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim PAFA akan terbang ke Wales di atas jemputan pegawai pasukan Cardiff bagi mendapatkan beberapa pemain kelab tersebut secara pinjaman.

“Idea mendapatkan Ronaldinho tercetus apabila pemain itu sewaktu ditemuramah wartawan pada kempen mempromosi Piala Dunia 2018 di Kuala Lumpur sebelum ini, menyatakan kesediaan bermain di Malaysia secara percuma.

“Daripada respon itu, saya secara terbuka menawarkan kepada beliau untuk menjadi sebahagian tonggak skuad Perak pada musim depan, lebih-lebih lagi kita akan bermain dalam kejohanan Liga Kejuaraan Asia dan AFC.”

Tambah Hasnul, PAFA menghubungi Ronaldinho menerusi ejen perantara dan ejen bekas pemain Barcelona ini meminta pakej gaji yang sangat tinggi jika beraksi bersama Perak.

“Saya juga yakin nilai tuntutan pakej pembayaran gaji dipinta ejen Ronaldinho tidak mampu dipenuhi mana-mana pasukan lain dalam Liga Super.

“Namun, saya fikir kita masih mampu mendapatkan khidmat bintang import berkualiti dari Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila pengurusan Cardiff City ada menyatakan kesudian meminjamkan pemain mereka kepada Perak,”katanya.

Hasnul juga menyatakan pemilik kelab EPL itu yang juga jutawan dari Malaysia, Tan Sri Vincent Tan turut bersedia menawarkan pinjaman pemain Cardiff City tanpa PAFA perlu menanggung sebarang kos gaji pemain yang bakal dipinjam.

“Pafa akan melihat kesesuaian beberapa pemain Cardiff City untuk memenuhi kuota import Perak. Mungkin kita akan pinjam dua atau tiga pemain sahaja, selebihnya ada kuota pemain import Asia yang perlu dipenuhi.

“Apapun, kesemuanya bergantung kepada kehendak jurulatih dan paling penting rundingan dengan pengurusan Cardiff City dapat dijalankan dengan jaya demi pembangunan bola sepak Perak pada masa hadapan,”katanya.

Masih belum jelas pemain mana yang akan diambil sebagai pemain pinjaman bagi memperkuatkan pasukan Perak bagi saingan musim hadapan. Apa yang pasti, pemain tersebut akan mengisi bahagian serangan ataupun pertahanan pasukan.

Apa pendapat anda mengenai hasrat Perak yang mahu meminjam pemain Cardiff City bagi memperkemaskan pasukan musim hadapan ? Pemain manakah yang akan dipinjam oleh Perak ?

Baca Juga: 5 Pemain Alternatif Bagi Ronaldinho

Leave a Reply