Sumber Gambar: Nakhon Ratchasima

Penyerang skuad kebangsaan yang kini beraksi di Thailand, Shahrel Fikri Fauzi baru-baru ini meluahkan perasaan di laman media sosial Twitter milik beliau. Shahrel dilihat seperti kesunyian selama beraksi bersama Nakhon Ratchasima FC.

Shahrel menyatakan tidak mudah untuk menjalani kehidupan di luar negara dengan seorang diri. Beliau hanya bertemu dengan rakan ketika sesi latihan dan juga hari perlawanan sahaja. Akan tetapi, untuk kehidupan sosial, Shahrel menegaskan beliau terpaksa menjalani seorang diri.

Ramai pihak yang memberikan kata-kata semangat kepada Shahrel agar mengekalkan fokus beliau bersama Nakhon dan tidak memberikan tumpuan kepada perkara lain.

Antara yang memberi kata-kata semangat ialah bekas pemain negara, Hanizam Uzir. Bekas pemain Johor ini berkata apa yang dilalui oleh Eki merupakan sebahagian daripada perjuangan dan menasihati Shahrel agar terus mengekalkan fokus beliau bersama Nakhon.

Peminat bola sepak negara juga tidak ketinggalan memberikan kata-kata semangat kepada Eki. Ada yang mengatakan Harimau hanya merantau seorang diri. Jika Shahrel memberikan tumpuan kepada perkara remeh temeh sebegini, ianya boleh mengganggu fokus beliau.

Apa yang pasti, kesunyian yang dihadapi oleh Shahrel ketika ini perlu diatasi dengan segera bagi mengelakkan fokus beliau terjejas ketika beraksi bersama Nakhon.

Shahrel setakat ini berjaya menjaringkan satu gol sejak menyertai Nakhon Ratchasima secara pinjaman daripada PKNP FC pada pertengahan musim ini.

Jika Shahrel boleh mengatasi kesunyian yang beliau alami, tidak mustahil bekas ketua pasukan PKNP ini mampu untuk menambah jumlah gol beliau pada perlawanan akan datang.

Apa pendapat anda mengenai luahan perasaan Shahrel Fikri di laman media sosial Twitter milik beliau baru-baru ini ? Apa yang perlu dilakukan oleh Shahrel agar beliau tidak kesunyian ?

Baca Juga: Shahrel Fikri Akhiri Kemarau Jaringan

Leave a Reply