Sumber Gambar: Sinar Harian

Ketua jurulatih pasukan PKNP FC, Abu Bakar Fadzim percaya bekas ketua pasukan PKNP, Shahrel Fikri Fauzi mampu untuk bertahan di kelab Thai League 1 yang disertai pada pertengahan musim ini, Nakhon Ratchasima FC sehingga tempoh pinjaman pemain tersebut tamat. Shahrel dipinjamkan PKNP FC kepada Nakhon selama lima bulan.

Tambah Abu Bakar Fadzim, Shahrel sememangnya terpaksa menjalani kehidupan seorang diri di negara Gajah Putih itu tanpa ditemani oleh sesiapapun.

“Dua minggu lalu kebetulan dia cuti dan balik ke Ipoh. Kami sempat berjumpa dengan dia turut berlatih bersama kami.

“Dia ada menceritakan kehidupannya di Bangkok, termasuk tinggal seorang diri di rumah sewa yang disediakan kelab. Biasalah kadang-kadang bila kita duduk sendirian, akan mula timbul rasa rindu kepada keluarga dan sebagainya.

“Namun saya ada menasihatkannya supaya jangan terlalu memikirkan mengenai perkara itu, sebaliknya kekal fokus demi cita-cita dan kejar impian untuk menjadi pemain terbaik.

“Saya kenal dia sudah lama. Dia takkan balik awal selagi tugas dan misinya belum selesai,” katanya ketika dihubungi Sukan NSTP semalam.

Shahrel Fikri baru-baru ini meluahkan perasaan mengenai keadaan semasa beliau di laman media sosial Twitter milik beliau. Eki menyatakan sentiasa berasa sunyi apabila sentiasa keseorangan sepanjang menjalani aktiviti harian di negara jiran itu.

Shahrel menulis “Bukan senang nak hidup dekat negara orang sorang-sorang. Sorang-sorang tau sorang-sorang. Kawan pun tak ada, kawan cuma ada bila latihan itulah kawan sepasukan. Yang kawan sebelum latihan kawan lepas latihan kawan makan dan kawan jalan-jalan mana ada. Mana ada,” luah bekas penyerang PKNP itu.

Setakat ini, Eki berjaya menjaringkan satu gol buat Nakhon ketika pasukan itu menewaskan Ranong United dalam saingan Piala Liga Thailand.

Hasil kerja keras Shahrel membolehkan beliau dipanggil oleh ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe unuk menyertai kem latihan pusat yang akan bermula 3 September ini bagi persediaan menentang Taiwan dan Kemboja dalam satu perlawanan persahabatan.

Baca Juga: Shahrel Fikri Kesunyian ?

Leave a Reply