Sumber Gambar: Nakhon Ratchasima

Pemain yang berkelana di bumi Perancis sejak berusia belasan tahun, Titus James Palani memberikan nasihat kepada Shahrel Fikri Fauzi agar menguatkan semangat beliau semasa berada di negara asing.

Menurut laporan Berita Harian, Titus mengakui beliau berdepan pelbagai dugaan dan halangan ketika pertama kali tiba di Perancis terutama membabitkan soal bahasa, cuaca dan juga makanan. Titus pernah terfikir untuk pulang ke tanah air namun keinginan untuk mengejar cita-cita membuatkan beliau melupakan hasrat tersebut.

“Sukar sebenarnya untuk kita tinggal lama di negara asing. Pelbagai cabaran timbul, terutama masalah bahasa kerana masyarakat di sini jarang menggunakan bahasa Inggeris.

“Jadi, saya kuatkan semangat dan belajar bahasa Perancis. Saya seorang diri ketika itu tapi bernasib baik kerana tinggal bersama keluarga angkat, jadi masalah bahasa itu sedikit demi sedikit dapat diatasi.

“Namun soal rindu kepada keluarga di Malaysia memang tetap ada. Tapi saya kuatkan mental dan cuba harungi dugaan ini dengan sebaik-baiknya. Satu saja rahsia saya, kuatkan mental dan anda akan boleh kekal lama, tidak kisah bermain di mana sekalipun,” katanya ketika dihubungi.

Titus James turut menjelaskan beliau memahami kesukaran yang dihadapi oleh Shahrel semasa berada di Thailand yang mana bersangkutan dengan isu makanan dan juga bahasa.

“Situasi dia mungkin sama dengan saya iaitu masalah bahasa dan makanan. Di Thailand rakyatnya berbahasa Thai dan mungkin sebab itu dia berasa sunyi kerana masalah komunikasi. Oleh itu, dia kena tabah bertahan termasuk cuba belajar bahasa mereka,” katanya.

Setelah mendapat dorongan dan nasihat daripada pelbagai pihak, kini Shahrel dilihat telah berjaya mengatasi kesunyian yang dialami dan mula menunjukkan bahawa beliau selesa berada di Nakhon.

Apa yang pasti, Shahrel Fikri perlu menguatkan semangat agar beliau boleh menumpukan sepenuh perhatian bersama Nakhon Ratchasima dan mencetak lebih banyak gol pada perlawanan akan datang. Setakat ini, Shahrel mencatat satu gol buat Nakhon pada saingan Piala Raja Thai.

Baca Juga: Shahrel Fikri Tidak Lagi Kesunyian

Leave a Reply