Sumber Gambar: Goal.com

Pemain tengah skuad bawah 23 tahun negara, Nik Akif Syahiran mendedahkan ada beberapa pasukan dari Thai League yang menunjukkan minat terhadap khidmat beliau. Yang menjadi persoalan di sini,adakah Nik Akif sudah sedia untuk beraksi di Thailand ?

Semalam, Nik Akif mendedahkan ada empat kelab dari Thailand yang berminat untuk mendapatkan khidmat beliau. Pemain tengah pasukan Kelantan ini menampilkan aksi yang baik ketika temasya Sukan Asia 2018 dan juga kejohanan AFF Bawah 19 Tahun dimana Malaysia muncul sebagai juara.

“Jika tawaran sesuai, terutama daripada kelab Thailand, saya sedia meninggalkan Kelantan kerana memang menjadi impian saya bermain di luar negara.

“Begitu pun, segala-galanya bergantung pada majikan saya, KAFA (Persatuan Bolasepak Kelantan) sama ada sedia melepaskan saya atau tidak kerana saya masih mempunyai kontrak bersama mereka selama dua tahun lagi,” kata Nik Akif kepada Berita Harian.

Akan tetapi, Nik Akif mahu menumpukan perhatian dengan membantu pasukan Kelantan mengharungi baki saingan Piala Malaysia 2018. Juara 2012 ini masih lagi berpeluang untuk mara ke peringkat suku akhir jika berjaya mencatat dua kemenangan pada dua perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

“Peluang masih ada dengan syarat kami kalahkan MIFA, esok dan Kedah pada perlawanan terakhir sambil mengharapkan pasukan lain mencapai keputusan negatif. Saya harap kami dapat memanfaatkan kelebihan bermain di tempat sendiri untuk kedua-dua perlawanan itu,” kata Nik Akif.

Selain itu, kecemerlangan yang ditunjukkan oleh Nik Akif berjaya meyakinkan ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk memanggil beliau. Beliau mahu membalas kepercayaan yang telah diberikan oleh Cheng Hoe kepada beliau.

“Pada masa sama saya mahu membalas kepercayaan jurulatih, Tan Cheng Hoe yang menyenaraikan saya dalam skuad kebangsaan. Saya akan memberikan prestasi terbaik dalam latihan dan cuba mendapatkan tempat dalam senarai terakhir,” kata pemain berusia 19 tahun itu.

Apa pendapat anda mengenai peluang Nik Akif Syahiran untuk beraksi di Thailand musim hadapan ? Adakah beliau sudah bersedia ? Atau perlu memantapkan lagi mutu dan tahap permainan bersama pasukan Kelantan.

Baca Juga: Shahrel Fikri Tidak Lagi Kesunyian

Leave a Reply