Sumber Gambar: Sporting News

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Football League (MFL), Kevin Ramalingam berkata MFL tidak menerima sebarang permohonan dari mana-mana pasukan untuk bertukar status kepada Development Club atau kelab pembangunan bagi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Kevin berkata demikian setelah timbul khabar angin dimana pasukan Selangor dikhabarkan mahu menjadikan PKNS FC sebagai kelab pembangunan mereka dan PKNP FC sebagai kelab pembangunan buat pasukan Perak.

“Khabar angin itu tidak benar. Setakat ini tiada apa-apa makluman mengenai perkara ini. Jika ada permohonan, barulah MFL boleh mengambil tindakan yang selanjutnya.

“Jika benar ada permohonan yang dikemukakan, tidak semestinya ia boleh diluluskan serta merta kerana masih ada proses dan kelayakan yang perlu dipenuhi.

“Namun, kalau ada permohonan sekali pun, ia tidak bermakna pasukan yang disingkirkan ke Liga Perdana akan kembali beraksi secara automatik dalam Liga Super,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Sebelumnya, khabar angin beredar di media sosial mengatakan dua pasukan akan diturunkan ke saingan Liga Perdana bagi membolehkan pasukan Kelantan terus beraksi dalam saingan Liga Super musim hadapab. Dua pasukan yang dimaksudkan ialah PKNS FC dan PKNP FC yang dikatakan akan ditukar kepada Development Club.

Untuk rekod, terdapat dua kelab pembangunan dalam saingan Liga Malaysia ketika ini. Johor Darul Ta’zim II merupakan kelab pembangunan bagi Johor Darul Ta’zim manakala Terengganu FC II menjadi kelab pembangunan untuk Terengganu FC.

Johor Darul Ta’zim II dan Terenggaun FC II beraksi dalam saingan Liga Perdana musim ini kerana mereka tidak dibenarkan beraksi dalam pentas yang sama dengan pasukan abang mereka.

Berdasarkan peraturan yang sudah ditetapkan, kelab pembangunan juga tidak dibenarkan beraksi dalam saingan Piala FA dan Piala Malaysia.

Apa pendapat anda mengenai kelibat kelab pembangunan dalam saingan Liga Malaysia setakat ini ? Adakah mereka membantu dari segi pembangunan pemain ? Atau kewujudan mereka hanya satu pembaziran yang dilakukan oleh pasukan dalam saingan Liga Malaysia ?

Baca Juga: Lanjutan Kontrak JDT Wajar Dicontohi Pasukan Lain

Leave a Reply