Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) menjelaskan khabar angin mengenai pertukaran status PKNP FC kepada pasukan pembangunan mereka pada saingan Liga Malaysia musim hadapan. PAFA menafikan perkara tersebut kerana tiada perancangan mengenainya dalam masa terdekat.

Setiausaha Agung PAFA, Abdul Aziz Yeop Jamaludin ketika dihubungi Harian Metro menjelaskan isu terbabit tidak pernah dibincangkan sekaligus menafikan dakwaan yang disebarkan.

“Setakat ini memang perkara itu tiada dalam perancangan kami ketika ini, namun perlu tunggu mesyuarat Exco yang akan dijalankan dalam masa terdekat. Selepas itu baru kita boleh mengulas lanjut jika ada perkembangan mengenai perkara ini,” katanya.

Nada sama turut disuarakan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) FC menerusi pengurus mereka, Mahfizul Rusydin Abd Rashid.

“Tidak benar. Ia hanya khabar angin,” katanya secara ringkas.

Sebelumnya, timbul isu dimana khabar angin mengatakan PKNP FC dan PKNS FC akan ditukar sebagai kelab pembangunan kepada pasukan Perak dan pasukan Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Football League (MFL), Kevin Ramalingam juga memberikan komen mengenai pertukaran status dua pasukan ini dan memaklumkan bahawa MFL belum menerima apa-apa permohonan daripada pasukan Liga Malaysia untuk menukar status menjadi kelab pembangunan pada saingan musim hadapan.

Isu pertukaran status kepada kelab pembangunan ini sememangnya mendapat reaksi yang bercampur-baur daripada peminat bola sepak Malaysia. Ada yang menyokong langkah tersebut namun ada juga yang tidak bersetuju.

Mereka yang tidak bersetuju rata-rata berpendapat PKNP dan PKNS mampu untuk menguruskan pasukan mereka sendiri dan tidak perlu menjadi kelab pembangunan kerana potensi yang dimiliki oleh mereka.

Selain itu, pertukaran kepada kelab pembangunan ini juga akan menjejaskan masa depan pemain yang berada dalam skuad Piala Presiden dan juga Piala Belia pasukan masing-masing.

Apa yang pasti, PKNP, PKNS, PAFA dan juga FAS perlu mengkaji segala aspek sebelum membuat keputusan untuk menjadikan PKNP dan PKNS sebagai kelab pembangunan. Kedua-dua pasukan beraksi dengan baik serta menguruskan pasukan mereka dengan cemerlang dalam saingan Liga Malaysia musim ini. Jangan biarkan perkara tersebut tidak diteruskan pada musim hadapan.

Baca Juga: Tiada Permohonan Untuk “Development Club”

Leave a Reply