Isu perubahan status dua pasukan Liga Super, PKNP FC dan PKNS FC menjadi kelab pembangunan kepada pasukan Perak dan Selangor menjadi topik hangat yang diperbincangkan ketika ini. Di sini, penulis berpendapat kedua-dua pasukan di atas mampu untuk menguruskan pasukan mereka sendiri dan tidak perlu ditukar kepada kelab pembangunan.

Lihat saja prestasi PKNP dan PKNS dalam saingan Liga Super musim ini. PKNP berjaya menamatkan saingan di tangga ke-9 pada musim pertama mereka bersaing di saingan Liga Super. Manakala PKNS pula menamatkan saingan di tangga ketiga.

Selain prestasi yang baik dalam saingan Liga, jarang kita dengar kedua-dua pasukan ini mempunyai masalah di bahagian pengurusan seperti contoh isu pembayaran gaji pemain. PKNP dan PKNS berjaya menjaga kebajikan pemain mereka dengan membayar gaji tepat waktu.

Satu lagi sebab mengapa PKNP dan PKNS tidak perlu ditukar kepada kelab pembangunan ialah barisan pemain yang dimiliki oleh kedua-dua pasukan ketika ini mampu untuk melangkah lebih jauh. Jika barisan pemain sedia ada beraksi untuk dua musim lagi dalam saingan Liga Super, tidak mustahil mereka boleh menjadi pencabar kepada pasukan besar untuk merebut kejuaraan Liga Super.

Selain itu, pemain daripada skuad Piala Presiden dan Piala Belia juga akan terjejas dengan perubahan status ini kerana tidak semua pemain yang akan dikekalkan. Secara tidak langsung, mereka kehilangan pentas untuk bermain dan menunjukkan bakat mereka.

Apa yang pasti, keputusan untuk mengubah status kepada kelab pembangunan perlu diteliti terlebih dahulu kerana ianya melibatkan masa depan sebuah pasukan beserta masa depan pemain. Penulis berpendapat PKNP dan PKNS tidak perlu dijadikan sebagai kelab pembangunan seterusnya kekal beraksi dalam saingan Liga Malaysia sebagai satu pasukan.

Apa pendapat anda mengenai perubahan status sesebuah pasukan kepada kelab pembangunan ? Adakah ianya akan membantu dari segi kemajuan bola sepak Malaysia ? Atau kelab pembangunan ini tidak perlu dilaksanakan kerana ianya akan merugikan ramai pihak ?

Baca Juga: Pertukaran Status Hanya Khabar Angin

Leave a Reply