Sumber Gambar: Perlis FA

Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar berpendapat sukar untuk menaikkan standard Liga Malaysia jika ada pasukan yang masih lagi dilanda masalah pembayaran gaji pemain.

Isu tunggakan gaji yang sedang melanda beberapa pasukan Liga Malaysia ketika ini telah mencemarkan saingan bola sepak tempatan serta dianggap boleh memberi kesan lebih buruk dalam usaha melahirkan lebih ramai pemain masa depan berkualiti. Usaha untuk menaikkan standard Liga juga semakin sukar.

“Isu tunggakan gaji ibarat kita tak hormat pemain. Jadi tolong hormati punca pendapatan pemain kerana ia yang akan mempengaruhi emosi pemain apabila memasuki padang.

“Satu perkara memalukan kerana negara luar pun tahu perkara ini. Kita nak naikkan standard Liga M, tapi bila perkara ini berlaku, bagaimana nak naikkan standard itu?

“Pemain luar nak datang sini pun takut, saya dengar khabar angin yang pemain dari Thailand hanya akan datang ke Malaysia sebagai pilihan terakhir mereka, oleh kerana mereka tiada pilihan lain,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Sebelum ini, Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meminta dua pasukan dari Piala FAM iaitu Perlis dan Terengganu City membayar sejumlah RM744,500 tunggakan gaji kepada pemain mereka.

Azlan juga mengkritik pengurusan tertinggi pasukan negeri dan kelab yang disifatkan sebagai punca masalah tunggakan gaji pemain dalam Liga M belum menemui jalan penyelesaian.

“Ramai berebut nak jadi presiden, timbalan presiden, setiausaha dan sebagainya, tapi gagal menjalankan tugas dengan baik. Tugas menjaga kebajikan pemain antara tugas paling penting bagi pengurusan.

“Ada persatuan yang mana bila presiden letak jawatan, timbalan presiden terus angkat tangan kata tak boleh bantu, jadi selama ini hanya presiden saja ke yang buat kerja?

“Sebab itu ada pemain bola sepak kita yang kais pagi makan pagi dan saya rasa ini satu perkara yang semua pihak harus pandang,” katanya.

Apa yang penting, pasukan yang dilanda masalah pembayaran gaji pemain perlu segera menyelesaikan isu tersebut agar kebajikan pemain dapat dijaga dan mereka akan menampilkan aksi terbaik tanpa sebarang gangguan.

Baca Juga: Mereka Mampu Untuk Menguruskan Pasukan

Leave a Reply