Sumber Gambar: HM Online

Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Rezal Zambery Yahya mendedahkan bahawa seramai 120 pemain kini berdepan dengan masalah pembayaran gaji dan pihaknya masih memberikan masa kepada pemain-pemain yang kini masih dibelenggu masalah gaji tertunggak sebelum PFAM mengetengahkan isu berkenaan kepada pihak atasan.

Menurut Rezal, pihaknya juga sedang menasihatkan pemain-pemain daripada tiga pasukan Liga Premier serta satu Liga Super untuk menyelesaikan masalah tersebut secepat mungkin dan PFAM sedia membawa masalah berkenaan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sekiranya masih gagal diselesaikan.

“Saya enggan mendedahkan tiga kelab Liga Premier dan satu pasukan Liga Super yang berdepan masalah gaji, sebaliknya memberikan masa kepada mereka untuk menyelesaikannya dengan cara baik.

“Ini kerana ia atas permintaan pemain-pemain sendiri kerana mereka mahu menyelesaikan kemelut itu dengan cara baik bersama pasukan sebelum sedia melaporkan kepada kami jika masalah tersebut berlanjutan.

“Pada masa sama, jumlah tunggakan itu juga belum sesuai untuk didedahkan buat masa ini kerana kita mahu menghormati kedua-dua pihak untuk menyelesaikannya terlebih dahulu.

“Sepatutnya isu ini tidak perlu dibangkitkan jika pihak pengurusan dapat menjalankan tugas dengan baik memandangkan pemain-pemain juga mempunyai tanggungjawab tersendiri dengan keluarga masing-masing,” katanya kepada Kosmo.

Tambah Rezal, tindakan tersebut bukan untuk menyalahkan pihak pengurusan sebaliknya ia perlu dipandang serius kepada semua pasukan agar masalah tersebut tidak terus menular pada Liga Malaysia (Liga M).

“Tindakan dan nasihat saya bukan untuk mendesak atau menyalahkan pihak pengurusan, sebaliknya ingin membetulkan masalah ini supaya tidak terus berlarutan dalam kalangan pemain.

“Kita mahu semua yang berada dalam pasukan menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan baik kerana kita tidak mahu hanya pemain dipersalahkan atas kemerosotan prestasi sesebuah pasukan selepas ini,” tegas Rezal.

Apa yang pasti, pasukan yang gagal untuk menjelaskan bayaran gaji kepada 120 pemain yang disebutkan di atas perlu segera menyelesaikan tunggakan tersebut bagi memastikan pasukan tidak dijatuhi hukuman yang berat dan pemain boleh meneruskan kehidupan mereka.

Baca Juga: Selesaikan Tunggakan Gaji Pemain Terlebih Dahulu

Leave a Reply