Sumber Gambar: Kedah FA

Pemangku ketua jurulatih pasukan Kedah, Azzmi Abdul Aziz akan dikekalkan khidmatnya sekiranya beliau menunjukkan prestasi yang cemerlang pada baki saingan Piala Malaysia musim ini.

Menurut laporan Utusan, Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Mohd. Asmirul Anuar Aris berkata, pada masa ini, KFA tidak berhasrat untuk mencari ketua jurulatih baharu dan berharap Azzmi dapat memberi khidmat yang cemerlang kepada pasukan Kedah memgharungi baki saingan Piala Malaysia.

“Kejayaan ini menunjukkan pemain Kedah memerlukan sentuhan baharu selain kerjasama yang baik antara pemain dan jurulatih untuk mencapai kemenangan pada perlawanan itu. Apa kita harapkan supaya momentum ini akan terus dikekalkan pada perlawanan seterusnya,” kata beliau.

Sejak di bawah bimbingan Azzmi, Kedah berjaya bangkit dan mencipta kemenangan berdepan MIFA dan terbaharu menewaskan juara bertahan Piala Malaysia, Johor Darul Ta’zim pada 31 Ogos lepas.

Sebelumnya, peluang naib juara edisi musim lalu ini untuk mara ke peringkat seterusnya dilihat malap apabila gagal untuk mencatat kemenangan pada tiga perlawanan pertama peringkat kumpulan C. Lebih parah, mereka dibelasah JDT dengan keputusan 5-1 di Larkin.

Kemerosotan skuad Lang Merah menyebabkan ketua jurulatihnya, Mohd. Nidzam Adzha Yusoff direhatkan KFA.

Para pemain juga dilihat lebih selesa dan juga menampilkan aksi yang lebih mantap dalam saingan Piala Malaysia ketika di bawah bimbingan Azzmi Abdul Aziz berbanding Nidzam Adha.

Kami berpendapat Azzmi wajar untuk diberikan peluang menjadi ketua jurulatih tetap pada musim hadapan jika beliau mampu untuk membawa pasukan Kedah sekurang-kurangnya sehingga ke peringkat separuh akhir.

Apa pendapat anda mengenai prestasi Azzmi Abdul Aziz selama membimbing pasukan Kedah dalam saingan Piala Malaysia edisi 2018? Adakah beliau layak untuk dikekalkan sekaligus dijadikan sebagai ketua jurulatih tetap jika Kedah menampilkan prestasi yang cemerlang pada baki saingan Piala Malaysia?

Atau pasukan Kedah perlu mencari ketua jurulatih yang lebih berwibawa dan berkaliber untuk mengendalikan pasukan pada saingan Liga Malaysia musim hadapan?

Baca Juga: Harimau Malaya Alami Kekalahan Kedua

Leave a Reply