Sumber Gambar: Terengganu City FC

Juara Piala FAM 2018, Terengganu City FC perlu menyelesaikan tunggakan gaji pemain terlebih dahulu barulah mereka boleh membuat perancangan bagi beraksi dalam saingan Liga Perdana musim hadapan.

TCFC sebelum ini diarahkan untuk membayar sebanyak RM283,000 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menyelesaikan tuntutan tunggakan gaji dan pampasan baki kontrak enam pemain.

Pengendali pasukan, Md Noor Derus memberikan kenyataan bahawa beliau masih lagi belum pasti sama ada Terengganu City FC akan beraksi dalam saingan Liga Perdana musim hadapan ataupun tidak.

“Perkara itu (untuk bersaing dalam Liga Perdana), pengurusan yang akan maklumkan selepas ini. Kita akan tengok bagaimana perancangannya,” kata Md Noor kepada Berita Harian.

Kemampuan Terengganu City untuk berada dalam Liga Perdana yang memerlukan perbelanjaan jutaan ringgit termasuk dalam mencari pemain import untuk memastikan mampu bersaing dengan pasukan yang lebih hebat dipertikaikan di atas masalah tunggakan gaji pemain yang dihadapi mereka.

Mengulas mengenai kejayaan pasukannya menjulang Piala FAM, Md Noor memuji semangat juang yang tinggi dimiliki pemainnya termasuk ketika latihan dan perlawanan.

“Pengalaman ini amat berguna untuk jurulatih baharu macam saya dan saya masih perlu belajar dengan jurulatih yang lebih berpengalaman.

“Piala FAM nampak mudah tapi sebenarnya susah sebab pasukan terdiri daripada pemain tidak ternama. Jadi, kita harus ajar mereka dengan taktikal dan banyak benda kita kena buat,” katanya.

Penting untuk Terengganu City menyelesaikan segala tunggakan gaji dan juga pampasan baki kontrak pemain sebelum musim 2019 bermula bagi mengelakkan mereka dikenakan hukuman berat oleh Pengelola Liga Malaysia, Malaysia Football League (MFL).

Jadikan tragedi yang menimpa Kuantan FA pada pertengahan musim ini yang dibubarkan kerana gagal untuk menyelesaikan tunggakan gaji para pemain dan juga pegawai pasukan.

Apa pendapat anda mengenai peluang Terengganu City FC untuk beraksi dalam saingan Liga Perdana musim hadapan? Mampukah mereka menyelesaikan tunggakan gaji para pemain pemain sebelum musim 2019 bermula?

Baca Juga: Terengganu City FC Juara Piala FAM 2018

Leave a Reply