Sumber Gambar: Terengganu City FC

Pemain terbaik perlawanan akhir Piala FAM, Mohd Khairul Ramadhan Mohd Zauwawi mendesak pengurusan skuad Terengganu City FC agar tidak menyia-nyiakan perjuangan para pemain yang bertungkus-lumus bagi memastikan pasukan muncul juara.

Pemain senior TCFC itu juga mahu pihak pengurusan pasukan segera memberikan jawapan mengenai penyertaan mereka dalam saingan Liga Perdana musim hadapan. Sebelumnya, Terengganu City masih lagi berteka-teki sama ada mahu menyertai saingan Liga Perdana ataupun tidak.

“Semoga tahun depan skuad ini masih bernafas dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) dan beraksi di Liga Perdana. Kekalkan pemain sedia ada yang berjuang hingga ke perlawanan akhir biarpun dihimpit masalah.

“Pengurusan TCFC perlu lebih profesional mengendalikan pasukan. Pastikan masalah yang dihadapi musim ini tidak berulang,” katanya kepada Berita Harian.

Faktor utama mengapa Terengganu City masih belum membuat keputusan sama ada akan beraksi dalam saingan Liga Perdana ataupun tidak ialah disebabkan faktor kewangan kerana TCFC kini dihimpit masalah itu dan pasukan berpengkalan di Kuala Terengganu itu juga sedang dipantau oleh badan induk bolasepak negara.

Lebih parah, skuad itu tidak akan mendapat penajaan kerajaan negeri Terengganu dan ia sudah dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Apa yang pasti, perjuangan para pemain bagi memastikan pasukan muncul juara Piala FAM 2018 tidak boleh dipersiakan. Pengurusan pasukan perlu segera menentukan sama ada mahu beraksi dalam saingan Liga Perdana dan menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain yang dihadapi ketika ini bagi memastikan perjalanan mereka dalam saingan Liga Perdana musim hadapan berjalan lancar.

Baca Juga:Persatuan Bola Sepak Perlu Lebih Bijak Untuk Mencari Dana

Leave a Reply