Sumber Gambar: Felda United

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan menegaskan kelibat jurulatih tempatan semakin dilupakan dalam kancah Liga Malaysia apabila pasukan lebih cenderung untuk memilih jurulatih dari luar negara.

Sathia menegaskan Malaysia mempunyai bakat-bakat muda, namun mereka masih belum mempunyai pengalaman luas untuk diketengahkan ke peringkat atasan.

“Bagi membangunkan jurulatih muda, kita mesti mempunyai pengalaman yang sangat luas ter­utamanya pada liga bawahan dan pernah menjadi pembantu jurulatih untuk tempoh yang panjang. Saya sendiri telah menjadi pembantu jurulatih selama 16 tahun sebelum boleh berada pada tahap sekarang.

“Kita tidak boleh terus tangkap muat sahaja mana-mana jurulatih yang ada kerana kita tidak mahu perjalanan mereka terhenti di pertengahan jalan.

“Kita tidak mahu mereka yang kurang berpe­ngalaman terus pergi ke skuad utama dan sekiranya gagal, mereka merasakan kerjaya terhenti begitu sahaja.

“Sebaliknya jurulatih muda perlu lalui banyak pengalaman terlebih dahulu seperti mengendalikan pasukan bawah 18 tahun (B-18) atau B-20 sebelum pergi ke skuad utama.

“Pastinya kita tidak mahu perjalanan kerjaya mereka terbantut di pertengahan jalan disebabkan kegagalan tersebut, sebaliknya mereka perlu membantu diri sendiri supaya lebih serius dalam bidang ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo.

B.Sathianathan mengambil contoh sistem kejurulatihan di Itali yang dilihat efektif dan selalu melahirkan ketua jurulatih yang berkualiti dan berwibawa.

“Di Itali, mereka mempunyai 150,000 tenaga jurulatih bagus dan ia adalah hasil daripada pembangunan jurulatih yang sangat baik.

“Kami dalam persatuan bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedia membantu pelapis baharu untuk dibangunkan supaya kita dapat lihat muka anak-anak tempatan mengambil alih tugas pasukan utama kelak.

“Kami masih dalam perbincangan dengan FAM untuk mendapatkan penajaan dan mungkin kami akan mencari dana bagi membawa jurulatih muda ke luar negara untuk menimba ilmu di sana.

“Ada juga kemungkinan kita akan mendedahkan mereka di Sepa­nyol atas bantuan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim seperti mana ideanya ketika menjadi Presiden FAM sebelum ini,” ujarnya.

Apa yang pasti, jurulatih tempatan khususnya jurulatih muda perlu diberi lebih peluang untuk mengendalikan pasukan-pasukan besar kerana mereka mungkin mempunyai kaedah dan corak permainan yang mungkin boleh menaikkan mutu Liga Malaysia.

Baca Juga:FA Perku Bijak Untuk Mencari Dana

Leave a Reply