Sumber Gambar: Kedah FA

Pemain import pasukan Kedah, Sandro Da Silva menyatakan hasrat beliau untuk membela pasukan Kedah bagi tempoh semusim lagi.

“Saya mahu beraksi semusim lagi bersama Kedah kerana saya memiliki kesungguhan bersama pasukan ini. Saya tidak fikir untuk menyertai mana-mana pasukan lain. Misi saya di sini belum tamat.

“Hati saya memang di sini (Kedah) dan ini terbukti dengan kesungguhan, fokus demi kejayaan yang saya curahkan bersama pasukan sejak 2015,” kata Sandro kepada Berita Harian.

Pemain import berusia 35 tahun ini sebelumnya memberi bayangan bahawa musim 2018 merupakan musim terakhir beliau bersama pasukan Kedah. Untuk rekod, kontrak Sandro bersama naib juara Piala Malaysia musim lalu ini akan berakhir pada penghujung musim 2018.

Biarpun begitu, pihak Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) masih lagi belum mengeluarkan kenyataan mengenai masa depan Sandro bersama pasukan. Di laman media sosial Instagram milik beliau, Sandro banyak berkongsi luahan peminat yang mahukan beliau untuk kekal bersama pasukan Kedah pada saingan musim hadapan.

Tambah Sandro, para pemain akan bekerja keras pada pertemuan menentang Kelantan bagi memastikan slot ke peringkat suku akhir terjamin.

“Semangat juang tinggi yang dipamerkan ketika bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 31 Ogos lalu menjadi pegangan buat semua pemain untuk aksi di Kota Bharu nanti.

“Banyak pasukan tewas dan seri di sana, kerana Kelantan adalah pasukan yang kuat di laman sendiri. Kami perlu berhati-hati,” katanya.

Apa yang pasti, kami berpendapat Kedah wajar untuk mengekalkan khidmat Sandro pada musim hadapan kerana beliau merupakan antara pemain terbaik pasukan pada saingan musim ini. Musim 2018 menjadi musim yang tidak berapa bagus bagi Kedah kerana prestasi yang tidak menentu. Namun Sandro berjaya menampilkan aksi yang konsisten.

Apa pendapat anda mengenai masa depan Sandro Da Silva bersama pasukan Kedah? Wajarkah beliau dikekalkan untuk semusim lagi?

Atau Kedah perlu mencari pemain import yang lebih baik kualitinya bagi membawa cabaran pasukan dalam saingan Liga Malaysia musim hadapan?

Baca Juga: Kedah Wajar Kekalkan Sandro Da Silva

Leave a Reply