Sumber Gambar: TeamN9FC

Kelantan dan Negeri Sembilan kekal beraksi dalam saingan Liga Perdana musim hadapan setelah Malaysia Football League (MFL) tidak menerima permohonan bagi menukar status PKNP FC dan PKNS FC kepada kelab pembangunan.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang permohonan daripada Selangor dan Perak seperti khabar angin yang tersebar di media sosial itu.

“Kita sedia maklum itu hanya khabar angin di luar sana, tapi kita tidak mendapat maklumat rasmi daripada mana-mana pihak termasuk Selangor dan Perak.

“Buat masa ini, kita sedang menguruskan kalendar Liga Malaysia untuk musim 2019. Jadi, kita harap pasukan faham bahawa jika ada apa-apa yang mereka mahu lakukan, sudah tentu perlu makluman awal perlu dilakukan kepada MFL.

“Kita pun hadir pada satu program yang lakukan FAS (Persatuan Bolasepak Selangor) pada bulan lalu, tapi tiada apa-apa makluman mengenai isu ini,” katanya kepada Berita Harian.

Khabar angin yang beredar di laman media sosial tentang pertukaran status PKNP dan PKNS secara tidak langsung membuat para peminat menyangka Kelantan dan Negeri Sembilan akan dikekalkan dalam saingan Liga Super musim hadapan.

Sebelumnya, The Red Warriors dan Hobin Jang Hobin tersingkir ke saingan Liga Perdana musim hadapan apabila kedua-dua pasukan menduduki tangga ke-11 dan ke-12 dalam saingan Liga Super musim ini.

Tambah Kevin lagi, permohonan untuk membentuk feeder club bukan sesuatu yang mudah dan ia perlu dinilai sepenuhnya oleh Lembaga Pengarah MFL terlebih dahulu.

“Jika dimohon pun bukannya benda itu (status feeder club) terus boleh dapat. Ia berdasarkan kelayakan pasukan itu dan kepada peraturan yang ada, malah tak semestinya semua boleh dijadikan feeder club,” katanya.

Apa yang pasti, pertukaran status dua pasukan di atas dilihat tidak perlu kerana kedua-dua pasukan mampu untuk menguruskan pasukan masing-masing. PKNP dan PKNS juga mempunyai kualiti untuk terus beraksi dalam saingan Liga Super musim hadapan.

Baca Juga: Tunku Syed Razman Presiden Baru PBNS

Leave a Reply