Sumber Gambar: TeamN9FC

Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri dipilih sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) yang baharu bagi tempoh 2018-2021 selepas menang tanpa bertanding pada Kongres PBNS Ke-86, di Klana Resort semalam.

Beliau mendapat sokongan padu ahli gabungan persatuan selepas menunjukkan minat mendalam untuk menjawat jawatan Presiden PBNS selepas peletakan jawatan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, pada hujung Mei lalu.

Menurut laporan Berita Harian, Turut menang tanpa bertanding ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr Razali Ab Malik yang memegang jawatan Timbalan Presiden PBNS.

Jawatan Naib Presiden PBNS pula dimenangi oleh tiga individu iaitu Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Mohamad Taufek Abd Ghani, pengurus skuad utama Negeri Sembilan, Datuk Mohamed Najeeb Abdullah dan Saaran Nadarajah.

Lapan individu memenangi Jawatankuasa Eksekutif PBNS daripada 19 calon bertanding iaitu Azmi Selamat, Lai Seng Ngeap, Bachik Osman, VK Dana, Mohamad Zaki Mahussin, Mohamad Hanipah Abu Bakar, Mohd Khairollah Abd Latif dan S Kalidasan.

Tunku Syed Razman mengucapkan terima kasih kepada ahli gabungan PBNS yang memberinya mandat untuk menerajui badan induk bola sepak negeri itu.

“Saya bersama barisan kepemimpinan baharu PBNS akan berusaha sebaik mungkin untuk menguruskan persatuan ini ke arah memartabatkan lagi sukan bola sepak negeri.

“Fokus kami adalah untuk kembali meletakkan skuad Negeri Sembilan di landasan yang terbaik dan di hormati dalam persada bola sepak negara.

“Namun begitu, PBNS memerlukan sokongan padu pelbagai pihak dan saya yakin melalui kerjasama serta sokongan kerajaan negeri dan penaja, kita akan dapat mencapai apa juga yang disasarkan,” katanya.

Apa yang pasti, pengurusan baharu PBNS diharap dapat mengembalikan semula zaman kegemilangan pasukan Negeri Sembilan.

Namun, misi yang paling penting ialah memastikan Negeri Sembilan beraksi dengan cemerlang dalam saingan Liga Perdana musim 2019 sekaligus membolehkan mereka kembali ke saingan Liga Super musim 2020.

Negeri Sembilan tersingkir ke saingan Liga Perdana setelah menamatkan saingan Liga Super musim ini di tangga tercorot.

Baca Juga: Kita Kekurangan Jurulatih Tempatan – Coach Sathia

Leave a Reply