Sumber Gambar: FourFourTwo

Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B.Sathianathan berkata Liga Juara-Juara tidak akan menjadi masalah kerana jurulatih sudah mengenali para pemain. Sebelum ini, timbul kerisauan bahawa kejohanan tersebut bakal menyekat hasrat jurulatih yang mahu membuat eksperimen ke atas pemain baru.

Menurut Sathia, jurulatih mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang kemampuan anak-anak buah beliau dan perkara ini membolehkan jurulatih untuk membuat perancangan tanpa perlu membuat uji kaji.

“Jurulatih mengenali pemain yang diperlukan dalam skuad kebangsaan. Secara mudahnya, mestilah pemain yang sedang berada dalam prestasi yang terbaik.

“Tanpa eksperimen sekalipun, saya kira jurulatih sudah tahu pendekatan yang perlu dilakukan untuk mendapatkan hasil memberangsangkan. Dengan aksi kompetitif sebegini, sudah pasti pemain akan memberikan aksi terbaik mereka.

“Walaupun hanya aksi persahabatan sekali pun, penyokong tetap mahukan kemenangan, jadi gunakan peluang ini sebaiknya untuk meraih keputusan yang positif,” katanya kepada Berita Harian.

Tambah Sathia, penganjuran saingan yang lebih kompetitif akan menyaksikan pemain sentiasa memberikan aksi terbaik kerana pasukan memiliki matlamat untuk menang setiap perlawanan.

Semalam, Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Zulakbal Abd Karim berkata pentas perlawanan persahabatan yang menjadi medan kepada jurulatih untuk membuat eksperimen akan bertukar menjadi perlawanan kompetitif sekaligus menghadkan hasrat jurulatih yang mahu membuat percubaan ke atas pemain mereka.

Pentas yang kompetitif ini secara tidak langsung menjejaskan peluang pemain khususnya pemain muda untuk menampilkan potensi sebenar mereka bersama pasukan kebangsaan kerana jurulatih sudah pasti tidak mahu mengambil risiko untuk kehilangan mata.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebelumnya menunjukkan minat tentang idea yang dijalankan oleh Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) yang mengadakan kejohanan UEFA Nations League. AFC berpendapat kaedah dan juga format yang digunakan oleh UEFA boleh digunakan di rantau Asia.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John tidak menolak kemungkinan mengenai penganjuran Liga Negara-Negara Asia dengan mengikut format sama yang digunakan oleh UEFA, namun menjelaskan masih terlalu awal untuk membincangkan cadangan itu.

Baca Juga: Liga Negara-Negara Hadkan Pilihan Jurulatih

Leave a Reply