Sumber Gambar: Terengganu City FC

Kemaraan Terengganu City FC dan Selangor United ke perlawanan akhir Piala FAM 2018 bermakna kedua-dua pasukan akan dinaikkan pangkat ke saingan Liga Perdana musim hadapan. Di sini, penulis telah menyenaraikan nasib pasukan promosi dari saingan Liga FAM ke Liga Perdana sejak 2012.

Sekurang-kurangnya ada 4 pasukan yang telah dinaikkan dari Liga FAM kini telah dibubarkan atau menarik diri sejak 2012. Ini belum lagi mengambil kira pasukan-pasukan yang dinaikkan sebelum 2012, apabila hampir tiada lagi kewujudan mereka di saingan liga.

Liga FAM 2012 (KL SPA FC dan UiTM FC)

Menggunakan sistem liga, juara Liga FAM 2012, KL SPA layak secara automatik ke Liga Perdana 2013. Naib juara liga, Shahzan Muda FC gagal layak ke Liga Perdana kerana kalah perlawanan penentuan dengan Pos Malaysia FC dari Liga Perdana 2012.

Namun selepas pelbagai kontroversi, UiTM di tempat ketiga Liga FAM 2012 layak ke Liga Perdana 2013, di mana sebelumnya mereka dikhabarkan akan menggantikan NS Betaria FC yang menarik diri dari Liga Perdana 2013, namun mereka tidak jadi menarik diri.

Selepas 3 musim di Liga Perdana, KL SPA akhirnya menarik diri di pertengahan musim 2015 kerana
kekurangan dana untuk membayar gaji pemain bulan seterusnya, walaupun KL SPA baru ditubuhkan
musim 2005. Sementara itu, UiTM yang ditubuhkan tahun 2008 masih kekal bersaing di Liga Perdana
dan pernah layak ke Piala Malaysia musim lepas – satu-satunya pasukan universiti yang bermain di
Piala Malaysia.

Liga FAM 2013 (Pulau Pinang FA dan PBAPP FC)

Dua pasukan dari Pulau Mutiara, Pulau Pinang dan PBAPP layak ke Liga Perdana 2014 selaku juara dan naib juara Liga FAM 2013. Menariknya, PBAPP baru ditubuhkan musim 2012. Namun hanya semusim
di Liga Perdana, PBAPP tersingkir ke Liga FAM 2015 selepas menduduki tangga tercorot.

Musim berikutnya, selepas menduduki tempat kelima di Kumpulan A Liga FAM 2015, mereka akhirnya
menarik diri kerana tidak mendapat tajaan – walau ianya di bawah naungan kerajaan negeri pada
ketika itu. Pulau Pinang pula berjaya naik ke Liga Super 2016 sebelum turun semula ke Liga Perdana 2018.

Liga FAM 2014 (Kuantan FA dan Kuala Lumpur FA)

Kuantan dan Kuala Lumpur selaku juara dan naib juara Liga FAM 2014 dinaikkan ke Liga Perdana 2015.
Fakta menarik, apabila Kuantan ditubuhkan jauh sebelum Kuala Lumpur, iaitu tahun 1970 (Kuala
Lumpur pada tahun 1975).

Namun selepas sentiasa menamatkan musim di kedudukan 8 dan 9 liga, musim ini Kuantan yang telah bergabung dengan Marcerra United rasmi menarik diri dari saingan Liga Perdana 2018. Bagi Kuala Lumpur pula, mereka berjaya menjadi juara Liga Perdana 2017 dan musim ini mereka menamatkan kedudukan 10 di Liga Super 2018.

Liga FAM 2015 (Melaka United dan Perlis FA)

Selepas menggunakan sistem liga tunggal, bermula musim 2015 ini pasukan-pasukan di Liga FAM
dipecah kepada 2 kumpulan. Juara bagi setiap kumpulan automatik layak ke Liga Perdana 2016, dan
Melaka United menjadi juara Liga FAM 2015 selepas mengalahkan Perlis di Stadium Hang Jebat
dengan jaringan 3-2.

Kejutan dari Melaka United apabila menjadi juara Liga Perdana 2016 dan kini mereka bermain di Liga Super sejak musim 2017. Sementara Perlis yang menduduki tempat tercorot Liga Perdana 2017 –
ditambah dengan pengurangan 3 mata selepas gagal mendaftarkan pemain di awal musim – kini
bermain di Liga FAM 2018.

Perlis yang juga dipalit isu tunggakan gaji dan hutang, ditambah lagi mereka menduduki tempat tercorot Kumpulan B Liga FAM 2018, berkemungkinan menjadi pasukan negeri
pertama menarik diri dari saingan liga.

Liga FAM 2016 (MISC-MIFA dan PKNP FC)

Sistem liga yang sama dengan musim sebelumnya, namun 4 pasukan teratas di setiap kumpulan akan
layak ke penentuan juara secara kalah mati, dan seterusnya pasukan yang layak ke perlawanan akhir
juga layak ke Liga Perdana 2017. MISC-MIFA dan PKNP layak ke perlawanan akhir dan MISC-MIFA
menjadi juara dengan agregat 3-1 mengalahkan PKNP, mengulangi sejarah musim 1993 apabila PKNP
menjadi naib juara Liga FAM.

Nasib sama seperti Melaka United yang mendapat kenaikan berturut-turut, apabila PKNP yang baru
dijenamakan semula tahun 2015 ‘dianugerahkan’ kenaikan selepas menduduki tempat ketiga Liga
Perdana 2017. Musim ini mereka menamatkan kedudukan di tempat kesembilan Liga Super 2018.

MISC-MIFA pula hampir tersingkir ke Liga FAM 2018, namun terselamat kerana ATM dan Perlis
mendapat pengurangan mata. Musim ini mereka layak ke Piala Malaysia dan berjaya mengejutkan
juara bertahan, JDT di Petaling Jaya.

Liga FAM 2017 (UKM FC dan FELCRA FC)

Sime Darby yang ditubuhkan pada tahun 2010 pernah menjadi kelab bolasepak terbaik tahun 2012
apabila menjadi naib juara Piala FA 2012 serta pernah menjadi juara Liga FAM 2010, berjaya menjadi
juara Liga FAM 2017 selepas mengalahkan UKM di perlawanan akhir dengan agregat 3-2.

Namun secara mengejut, pasukan ini menarik diri dari saingan Liga Perdana 2018 selepas bergelar juara sebulan sebelumnya. FELCRA – pasukan yang dikalahkan oleh Sime Darby di separuh akhir – akhirnya menggantikan Sime Darby.

Selepas musim 2018 berakhir, FELCRA mengikut jejak langkah PKNP dan Melaka United apabila
berjaya dinaikkan ke Liga Super 2019 selepas bermain semusim di Liga Perdana. Sementara UKM
berjaya mengelak daripada tersingkir kembali ke Liga FAM 2019, ditambah pula mereka menamatkan
musim pertama di Liga Perdana ini di atas UiTM – seteru universiti mereka.

Nota: Artikel ini ditulis oleh Saudara Ariff Ansaruddin. Beliau merupakan tenaga pengajar di salah sebuah institut pengajian awam (UKM Bangi) dan pernah menuntut di Universitas Indonesia, penyokong Negeri Sembilan FA dan UKM FC.

Baca Juga: Terengganu City FC Juara Piala FAM 2018!

Leave a Reply