Sumber Gambar: Nakhon Ratchasima

Penyerang skuad kebangsaan, Shahrel Fikri Fauzi menjelaskan beliau hanya bergurau dengan rakan ketika beraksi bersama Harimau Muda B, Ashmawi Mohd Yakin tentang komen di media sosial Instagram milik beliau yang bertuliskan “Selangor 2019”.

“Saya cuma bergurau dengan rakan sepasukan lama saya dalam Harimau Muda B, bukan betul pun,” katanya ketika ditemui Bernama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sebelum ini, Shahrel membalas komen yang diberikan oleh Ashmawi di Instagram dan pada akhir komen tersebut, Shahrel menulis “2019 Selangor”. Komen Eki ini serta-merta menjadi bualan peminat di dunia maya dan menyangkakan bahawa penyerang yang beraksi bersama Nakhon Ratchasima ini akan beraksi bersama Selangor musim hadapan.

Setelah mengatakan bahawa beliau hanya bergurau dengan Ashmawi, Shahrel kemudiannya mengulas mengenai kemenangan pasukan negara ke atas pasukan Kemboja dalam perlawanan persahabatan pada Isnin lalu.

“Saya harus berterima kasih kepada jurulatih Cheng Hoe kerana beri peluang beraksi pada pertandingan kompetitif. Saya gembira dengan sumbangan itu. Untuk saingan Piala AFF nanti, terpulang kepada beliau untuk letak saya di bangku simpanan atau dalam kesebelasan utama, saya ikut sahaja,” katanya.

Shahrel menampilkan aksi yang cemerlang pada perlawanan menentang Kemboja dimana kemasukan beliau pada separuh masa kedua berjaya menambah sengat di bahagian serangan pasukan negara. Shahrel menyumbangkan satu assist dan beliau juga berjaya menjaringkan satu gol pada minit-minit terakhir perlawannan.

Penyerang Nakhon ini juga yakin beliau tidak akan mengalami sebarang masalah menyertai kem latihan skuad Harimau Malaya pada Oktober ini, kerana aksi Thai League 1 akan tamat sebelum itu.

Jika Eki berjaya mengekalkan momentum semasa beliau, tidak mustahil ketua jurulatih pasukan negara, Tan Cheng Hoe akan terus memberikan kepercayaan kepada Shahrel untuk terus menerajui barisan serangan pasukan negara.

Dalam saingan Piala AFF bakal bermula November ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama-sama pasukan Vietnam, Kemboja, Laos dan Myanmar. Harimau Malaya akan membuka tirai saingan menentang Kemboja pada 8 November.

Baca Juga: Turunkan Shahrel Fikri Sebagai Penyerang Utama

Leave a Reply