Sumber Gambar: Sabah FA

Persembahan mantap pemain tengah Sabah, Azzizan Nordin pada perlawanan persahabatan menentang Kemboja tempoh hari menuai pujian daripada penolong jurulatih skuad kebangsaan, Aminuddin Hussin dan juga para peminat.

Azzizan pada mulanya diletakkan di bangku simpanan kerana Tan Cheng Hoe menurunkan Nasir Basharuddin dan Akram Mahinan di bahagian tengah pasukan. Apabila Nasir tidak dapat meneruskan permainan pada separuh masa pertama, Azzizan kemudiannya dimasukkan bagi bergandingan dengan Akram.

Azzizan bermula dengan sedikit perlahan apabila tercari-cari rentak sebaik saja beliau dimasukkan. Pemain tengah Sabah ini seringkali kehilangan bola dan melakukan bentesan yang dianggap tidak perlu.

Akan tetapi, memasuki separuh masa kedua, Azzizan berjaya mengatasi nervous beliau dan mula menampilkan permainan yang lebih kemas dan teratur. Azzizan berjaya mematahkan segala gerakan serangan yang disusun oleh pihak lawan sekaligus memberikan perlindungan kepada barisan pertahanan. Selain itu, hantaran bola Azzizan juga semakin baik.

Melihat kepada persembahan yang ditampilkan oleh Azzizan, ramai pihak yang membandingkan beliau dengan pemain tengah terbaik negara satu ketika dahulu, Shakir Shaari. Kualiti kawalan serta hantaran bola yang dimiliki oleh pemain berusia 24 tahun ini dikatakan seiras dengan Shakir Shaari semasa zaman kegemilangan beliau dulu.

Kami berpendapat masih banyak aspek yang perlu diperbaiki oleh Azzizan bagi memastikan beliau terus dipanggil untuk mewakili skuad kebangsaan pada perlawanan akan datang. Beliau perlu segera menyesuaikan diri dengan tempo permainan bagi mengelakkan membuat kesilapan mudah.

Apa yang pasti, Azzizan Nordin perlu menggunakan baki perlawanan Piala Malaysia 2018 bersama pasukan Sabah bagi memantapkan lagi corak permainan beliau. Untuk rekod, Sabah berjaya melangkah ke peringkat suku akhir pada saingan edisi kali ini.

Apa pendapat anda mengenai prestasi Azzizan Nordin ketika Harimau Malaya menewaskan pasukan Kemboja pada Isnin lalu ? Berdasarkan persembahan yang ditampilkan, wajarkah Azzizan terus dipanggil bagi mewakili pasukan negara sekaligus dikekalkan dalam kesebelasan utama pada perlawanan persahabatan yang akan datang ?

Baca Juga: Persaingan Zaquan Dan Shahrel Baik Untuk Pasukan Negara

Leave a Reply