Sumber Gambar: FA Selangor

Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) sedia untuk dirombak secara keseluruhan sistem perjalanan pengurusan persatuan terutamanya penjenamaan semula, komersial dan pasukan.

Naib Presiden FAS, Mohd Izhar Moslim berkata, hasil bengkel transformasi FAS yang diadakan pada bulan lalu menyaksikan 23 inisiatif baharu dicadangkan membabitkan perubahan besar sama ada di tengah mahupun luar padang.

“FAS tidak boleh bergantung kepada bantuan dana daripada kerajaan kerana ia tidak mencukupi untuk membentuk pasukan mantap secara keseluruhan dan boleh menjadi juara.

“Dengan itu beberapa langkah perlu diambil untuk memantapkan bahagian komersial kerana potensi yang dimiliki amat tinggi,” katanya ketika dihubingi Sukan NSTP.

FAS kini i diterajui Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dilantik sebagai presiden baharu bagi menggantikan Datuk Seri Subahan Kamal yang melepaskan jawatan pada Julai lalu.

Tambah Izhar, sejak Raja Muda Selangor mengambil alih, beberapa perubahan kecil telah dilakukan antaranya berjaya mendapatkan kembali Stadium Shah Alam sebagai gelanggang rasmi pasukan setelah musim ini Selangor menggunakan Stadium KLFA sebagai home base mereka.

“Tuanku Raja Muda bersama Exco dan pengurusan sedang bertungkus-lumus untuk membuat perubahan besar. Banyak keputusan sukar harus diambil demi mencapai cita-cita kami terutamanya memenuhi harapan penyokong,” Tambah Izhar.

Kesediaan FAS untuk dirombak secara keseluruhan ini sedikit sebanyak menimbulkan tanda tanya di kalangan peminat mengenai masa depan pemain sedia ada. Jika dirombak secara keseluruhan, bermakna majoriti pemain musim ini akan dilepaskan bagi memberi laluan kepada pemain baharu.

Untuk makluman, Selangor mempunyai Rufino Segovia yang merupakan penjaring terbanyak bagi Selangor dengan 31 gol dalam semua pertandingan setakat ini. Peminat sudah pasti mahu Rufino dikekalkan kerana prestasi cemerlang beliau dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Apa pendapat anda mengenai Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang sedia dirombak dari segi keseluruhan sistem perjalanan pengurusan persatuan seperti penjenamaan semula, komersial dan pasukan ?

Mampukah rombakan ini membawa perubahan kepada prestasi pasukan Selangor musim hadapan ?

Baca Juga: Saya Hanya Bergurau Dengan Ashmawi – Eki

Leave a Reply