Sumber Gambar: The National

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berkemungkinan besar akan memperkenalkan Liga Negara-Negara Asia pada tahun 2021.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John berkata pihaknya kini berada pada peringkat terakhir untuk membuat penilaian mengenai format pertandingan di bawah kelolaan konfederasi itu, termasuk bola sepak lelaki dan wanita, futsal serta bola sepak pantai.

“Kami dalam proses menilai semua pertandingan dalam AFC kerana berada dalam fasa terakhir kontrak penajaan kita yang tamat pada 2020. Maka dari 2021 hingga 2028, kita ada agensi baru dan penaja yang baharu.

“Kita sedang mene­liti Liga Negara-negara ini bukan kerana pihak lain sudah anjurkan tapi kita berada dalam suatu fasa di mana kita harus menilai semula pertandi­ngan-pertandingan kita. Sebelum ini memang FIFA dan UEFA pernah memberikan cadangan me­ngenai Liga Negara-negara ini,” katanya kepada Utusan.

Tambah Datuk Windsor, Liga Negara-Negara Asia nantinya akan dianggap sebagai pertandingan untuk memenuhi kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kerana negara-negara anggota Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dan Konfederasi Bola Sepak Amerika Utara, Amerika Tengah dan Caribbean (CONCACAF) masing-masing sibuk dengan Liga Negara-Negara benua masing-masing.

“Jadi tidak mustahil untuk AFC pun menuju ke arah itu. Walau bagaimanapun kita kena membuat penilaian teliti dan bincang dengan negara-negara anggota melalui Jawatankuasa Pertandi­ngan.

“Saya rasa kalau pertandingan ini meningkatkan mutu pasukan dan membantu pembangunan, ia bukanlah sesuatu yang boleh dilupakan, tetapi dipandang serius,” katanya.

Apabila Liga Negara-Negara Asia bermula nanti, Malaysia berkemungkinan akan diletakkan dalam Liga C bersama pasukan seperti Turkmenistan, Yaman, Myanmar, Hong Kong, Afghanistan, Maldives, Kuwait, Nepal, Indonesia dan Singapura.

Mengapa Malaysia diletakkan dalam Liga C adalah kerana kedudukan semasa dalam ranking FIFA pasukan negara tidak berada pada kedudukan yang tinggi.

Apa pendapat anda mengenai pelaksanaan Liga Negara-Negara Asia yang berkemungkinan besar akan bermula pada tahun 2021 ? Mampukah kejohanan ini meningkatkan lagi tahap dan mutu permainan pasukan dari rantau Asia ?

Baca Juga: Peluang Menguji Kekuatan Akan Tertutup – Tan Cheng Hoe

Leave a Reply