Sumber Gambar: Nakhon Ratchasima FC

Bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan menyeru agar pemain tempatan mengambil keberanian Shahrel Fikri Fauzi sebagai inspirasi untuk beraksi di liga luar negara.

Menurut Wan Jamak Wan Hassan, beliau berharap lebih ramai pemain tempatan untuk lebih berani dengan beraksi di liga luar negara bagi meningkatkan lagi tahap dan juga mutu permainan mereka.

“Thailand pun ada pemain yang keluar main di Jepun dan sebagainya. Jika lebih ramai lagi pemain seperti Shahrel, ia akan memberi impak lebih besar kepada bola sepak negara.

“Bukan liga kita tak bagus, tapi mungkin persaingan di sana (liga luar) lebih tinggi. Macam Shahrel, dia pergi ke sana (Thailand) sebagai pemain asing dan meletakkan dirinya sebagai pemain import.

“Jadi, sudah pasti dia akan cuba berlatih bersungguh-sungguh dan menunjukkan persembahan yang lebih baik daripada pemain tempatan di sana.

“Sama juga jika pemain lain yang berhijrah ke liga luar, tuntutan tahap permainan yang lebih tinggi akan memotivasikan mereka untuk memperbaiki prestasi ke tahap lebih baik,” katanya kepada Berita Harian.

Shahrel menampilkan aksi cemerlang ketika masuk sebagai pemain gantian pada perlawanan persahabatan menentang Kemboja tempoh hari. Shahrel memainkan peranan penting untuk tiga gol yang dijaringkan oleh skuad Harimau Malaya.

Beliau menyumbangkan dua assist kepada jaringan Shahrul Saad dan Syazwan Andik sebelum mejaringkan satu gol pada minit-minit terakhir perlawanan.

Permainan Shahrel dilihat menunjukkan peningkatan yang ketara sejak beraksi bersama Nakhon Ratchasima FC dalam saingan Thai League 1. Beraksi di peringkat dan juga persaingan yang lebih tinggi berbanding Liga Malaysia nyata mampu untuk meningkatkan kualiti serta mutu permainan seseorang pemain itu.

Apa yang pasti, para pemain tempatan perlu membuka mata mereka dan menjadikan Shahrel sebagai inspirasi untuk mereka keluar dari zon selesa dan mencabar diri sendiri. Jika mereka mampu untuk berbuat demikian, tidak mustahil pasukan negara akan mempunyai pemain yang mempunyai kualiti lebih tinggi dan mampu untuk menampilkan aksi terbaik bersama skuad kebangsaan.

Baca Juga: Liga Thailand Mantapkan Permainan Shahrel Fikri

Leave a Reply