Sumber Gambar: Kedah FA

Pemain import Kedah, Sandro Da Silva mahu pasukan beliau untuk beraksi dengan mentaliti mahu menang bagi mengurangkan risiko pada perlawanan menentang Kelantan Ahad ini.

Menurut Sandro, jika pasukan beliau beraksi dengan mentaliti sebegitu, maka risiko kekalahan boleh dikurangkan dan pasukan boleh mencatat keputusan positif.

“Kalau bermain dengan niat untuk seri, ada kemungkinan boleh kalah tapi jika bertekad untuk menang, mungkin mendapat keputusan seri.”

“Walaupun seri sudah cukup, tapi sangat bahaya jika kami mengambil pendekatan sebegitu, tersilap langkah boleh membawa padah. Sebaliknya lebih baik kami turun dengan matlamat untuk menang kerana risiko untuk kalah lebih kecil.”

“Kalau tidak menang, mungkin seri, pendekatan ini lebih praktikal dan selamat,” katanya kepada Berita Harian.

Kedah dan MIFA hanya memerlukan keputusan seri untuk layak ke peringkat suku akhir. Namun, untuk memastikan kedudukan mereka tidak digugat Kelantan dan Johor Darul Ta’zim, Kedah dan Mifa sebaiknya menewaskan lawan masing-masing bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Sandro sedar bahawa beliau dan juga rakan-rakan sepasukan bakal menghadapi tugas getir dengan berdepan Kelantan di laman sendiri. Tambahan pula, rekod Kedah ketika bertemu dengan The Red Warriors musim ini tidak begitu baik.

“Kami menang 1-0 di Kota Baharu tetapi kalah 1-2 dan seri 0-0 di Alor Setar. Ia jelas membuktikan Kelantan bukan pasukan yang mudah ditewaskan walaupun dibarisi pemain muda.”

“Jadi, kami perlu membuat percaturan yang betul. Saya yakin, jika kami mampu mengulangi prestasi ketika menewaskan JDT dua minggu lalu, Kedah akan mara ke suku akhir,” tambah Sandro Da Silva.

Peluang empat pasukan dalam kumpulan C untuk mara ke peringkat suku akhir masih lagi terbuka menuju ke perlawanan terakhir saingan peringkat kumpulan hujung minggu ini. Pasukan yang berjaya mencatat kemenangan akan memastikan kemaraan mereka.

Apa pendapat anda mengenai peluang pasukan Kedah untuk melangkah ke peringkat suku akhir saingan Piala Malaysia 2018 ? Mampukah mereka meraih keputusan positif ketika beraksi menentang Kelantan pada Ahad ?

Baca Juga: Sandro Mahu Semusim Lagi Bersama Kedah

Leave a Reply