Posisi penjaga gol pasukan kebangsaan untuk menghadapi kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 dilihat hampir pasti diisi oleh Farizal Marlias, Khairul Fahmi Che Mat dan Hafizul Hakim.

Ketiga-tiga penjaga gol ini dipanggil oleh Tan Cheng Hoe bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan menentang Taiwan dan Kemboja. Farizal diturunkan pada perlawanan menentang Taiwan manakala Khairul Fahmi diturunkan pada perlawanan menentang Kemboja.

Meskipun dibolosi dua gol, namun persembahan yang ditampilkan oleh Farizal boleh dikatakan baik memandangkan beliau sudah lama menghilang daripada beraksi bersama pasukan negara.

Bagi Khairul Fahmi pula, walaupun dibolosi pada separuh masa pertama, namun bekas penjaga gol Kelantan ini mempamerkan kebangkitan pada separuh masa kedua dan menampilkan aksi yang bertenaga dengan menafikan beberapa percubaan berbahaya yang dilancarkan oleh barisan serangan Kemboja.

Satu lagi faktor mengapa ketiga-tiga penjaga gol ini akan dikekalkan bagi mengharungi saingan Piala AFF Suzuki adalah prestasi mereka dalam saingan Liga Malaysia. Farizal dan Hafizul merupakan dua penjaga gol yang menghuni tangga pertama dan kedua dalam carta kutipan clean sheets.

Manakala bagi Apek pula, beliau berjaya tampil dengan cemerlang setelah menyertai pasukan Melaka United pada pertengahan musim 2018.

Jika ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe mahu membuat perubahan, nama seperti Helmi Eliza Elias dan Haziq Nadzli boleh dipertimbangkan. Helmi beraksi dengan cemerlang bersama pasukan Pahang musim ini manakala Haziq beraksi dengan baik bersama skuad bawah 23 tahun ketika temasya AFC Bawah 23 Tahun dan Sukan Asia 2018.

Apa yang pasti, penjaga gol yang akan dipilih nanti harus berada dalam prestasi terbaik bagi memastikan pintu gol negara tidak mudah dibolosi oleh pihak lawan.

Apa pendapat anda mengenai posisi penjaga gol pasukan negara bagi menghadapi saingan Piala AFF Suzuki edisi 2018 ? Adakah Tan Cheng Hoe harus mengekalkan penjaga gol yang beliau panggil baru-baru ini ?

Atau beliau perlu memanggil penjaga gol lain yang lebih baik bagi menjaga gawang pasukan negara ?

Baca Juga: Kena Berani Macam Shahrel – Wan Jamak Wan Hassan

Leave a Reply