Sumber Gambar: FAM

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bercadang untuk mengadakan liga bagi kategori pemain di bawah usia Bawah 17 Tahun dalam masa terdekat.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan cadangan tersebut masih lagi di dalam perbincangan dengan maklumat lanjut mengenainya hanya akan dapat diketahui sekurang-kurangnya dalam tempoh sebulan lagi.

“Perkara itu masih dalam perbincangan kerana ia masih perlu diperhalusi memandangkan pelaksanaannya membabitkan kerjasama dengan pelbagai pihak.

“Bagaimanapun, cadangan ini dilihat bertepatan dengan fokus FAM untuk membesarkan lagi pilihan pemain kita di peringkat akar umbi selepas kita sudah menganjurkan dua saingan peringkat bawah umur ketika ini.

“Ini adalah proses untuk FAM melengkapkan liga di bawah umur yang mana ia akan menjadi asas kepada pembangunan pemain belia di negara ini,” katanya kepada Berita Harian.

Kami berpendapat liga Bawah 17 Tahun merupakan satu langkah yang bijak bagi memberi platform kepada pemain muda dalam negara untuk menampilkan kemampuan yang mereka ada. Ketika ini, FAM hanya melaksanakan dua saingan bawah umur iaitu Piala Presiden yang membabitkan pemain berusia bawah 21 tahun dan Piala Belia membabitkan saingan bawah 19 tahun.

Bagaimanapun, cadangan penganjuran Liga Bawah 17 Tahun dilihat akan ‘mengganggu’ saingan Liga Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang ketika ini menganjurkan pertandingan buat pemain berusia di bawah 14 tahun dan 17 tahun.

Bercakap mengenai situasi itu, Stuart Ramalingam menjelaskan FAM akan turut mengadakan perbincangan dengan KPM berhubung penganjuran liga yang dikendalikan oleh mereka ketika ini.

“Kita akan mencari langkah kerjasama yang baik dan melaksanakan saingan liga yang dapat mencapai objektif bersama,” katanya.

Apa yang pasti, dengan adanya liga bawah 17 tahun, ianya akan memberikan pentas tambahan buat para pemain muda dalam negara untuk mempersembahkan potensi yang mereka miliki.

Apa pendapat anda mengenai hasrat FAM untuk mengadakan liga bagi pemain di bawah usia 17 tahun? Mampukah inisiatif ini membantu dalam meningkatkan kualiti yang dimiliki oleh pemain muda dalam negara?

Baca Juga: 23 Pemain Bawa Cabaran Skuad Bawah 16 Tahun Negara

Leave a Reply