Sumber Gambar: Terengganu FC

Terengganu FC menyasarkan kedudukan juara kumpulan A sebagai persediaan untuk memgharungi perlawanan peringkat suku akhir.

Perkara tersebut disuarakan oleh ketua pasukan, Kipre Tchetche yang mahukan rakan sepasukan untuk tidak memandang rendah cabaran yang bakal diberikan oleh pasukan Kuala Lumpur pada perlawanan malam ini.

“Kemenangan malam esok penting buat kami untuk mendapatkan keyakinan sebelum beraksi di suku akhir nanti dan seterusnya mengintai peluang melangkah ke separuh akhir serta final kerana itu adalah sasaran kami.

“Kami tidak boleh ambil mudah pertemuan itu biarpun sedar skuad lawan sudah tersingkir ke peringkat suku akhir,” kata Tchetche kepada Berita Harian.

Pada aksi pembukaan Piala Malaysia edisi 2018, skuad bimbingan Irfan Bakti ini berjaya membelasah skuad The City Boys dengan keputusan 5-1 pada perlawanan yang dilangsungkan di Cheras.

Setelah tewas kepada pasukan Perak pada perlawanan terakhir, Terengganu sudah pasti mahu bangkit dengan mencatat kemenangan sekaligus menjadi juara kumpulan.

Nada sama turut disuarakan oleh Irfan dimana beliau menuntut para pemain untuk beraksi dengan baik serta tidak mengulangi kesilapan sama ketika tewas kepada Perak tempoh hari, sebaliknya perlu lebih berani menguasai bola lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri.

“Selain itu saya turut mengharapkan pemain lebih bijak menghidu peluang untuk menghasilkan jaringan serta mengikis sikap cepat selesa dan perlu berkerja keras hingga minit terakhir perlawanan,” kata Irfan.

Apa yang pasti, Sang Penyu perlu meraih kemenangan jika mereka mahu mara ke peringkat suku akhir sebagai juara kumpulan A. Jika Terengganu FC gagal berbuat demikian dan Perak berjaya menewaskan Felcra FC, maka Terengganu akan berada di tangga kedua dan pasukan bimbingan Mehmet Durakovic akan merampas kedudukan sebagai pendahulu kumpulan.

Apa pendapat anda mengenai peluang pasukan Terengganu FC untuk muncul sebagai juara kumpulan A dalam saingan Piala Malaysia edisi 2018? Mampukah mereka bangkit dari kekalahan di tangan Perak tempoh hari dengan menewaskan Kuala Lumpur malam ini?

Baca Juga: Terengganu City FC Terima Tajaan Baru

Leave a Reply