Sumber Gambar: Felcra FC

Nasib ketua jurulatih pasukan Felcra FC, Tarcisio Pugliese masih lagi belum jelas sama ada beliau akan kekal mengendalikan pasukan atau bakal digantikan pada saingan musim hadapan.

Felcra bakal beraksi dalam saingan Liga Super musim 2019 setelah menamatkan saingan Liga Perdana musim ini di tangga kedua dibelakang pasukan Felda United.

Kontrak Pugliese bakal berakhir hujung tahun ini dan pengendali dari Brazil ini berminat untuk melanjutkan kontrak beliau. Namun, masih lagi tiada keputusan daripada pengurusan pasukan.

“Saya tak tahu apa akan berlaku musim depan. Kami ada pemain yang bagus. Saya tak tahu (akan kekal musim depan), kontrak akan tamat hujung tahun ini, saya mahu kekal, saya suka Malaysia, saya suka pasukan ini.

“Pasukan ini sudah banyak peningkatan dan saya boleh bantu mereka untuk terus meningkat,” katanya kepada Berita Harian.

Felcra berjaya menewaskan Perak pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Malaysia 2018. Walaupun mengutip tiga mata penuh semalam, namun perjalanan sulung Felcra dalam saingan Piala Malaysia berakhir di peringkat kumpulan.

Tambah Pugliese, beliau berpuas hati dengan prestasi Felcra musim ini dan yakin Felcra mampu bersaing dengan pasukan elit meskipun tidak berbelanja besar.

“Tahun ini bajet Felcra adalah antara bajet yang rendah antara pasukan di Liga Perdana.

“Dengan bajet terhad kami masih berjaya ke Liga Super, saya percaya ia bukan hanya semata-mata sebab duit tapi kerana organisasi, sistem latihan dan kepercayaan pemain.

“Apabila kejohanan bermula, kita tak tahu siapa akan menang, mungkin ada beberapa kelab berbelanja besar seperti Barcelona, Real Madrid, di Itali AC Milan, Inter Milan, Juventus.

“Di negara saya, ada 20 pasukan bertanding, mungkin 16 pasukan ada peluang menjadi juara,” katanya.

Kami berpendapat kontrak Tarcisio Pugliese wajar untuk disambung kerana beliau berjaya membawa pasukan kerdil muncul sebagai pasukan pencabar dalam saingan Liga Perdana.

Dengan barisan pemain sedia ada yang sudah selesa dengan corak permainan Tarcisio Pugliese, tidak mustahil Felcra mampu untuk mencabar dalam saingan Liga Super musim hadapan.

Baca Juga: Felcra FC, Silent Killer Dalam Saingan Liga Perdana

Leave a Reply